KENINGAU: Armada Bersatu Bahagian Keningau telah melawat pusat-pusat pelancongan di daerah ini iaitu Taman Eko-Pelancongan Kampung Rantai, Qiagung Campsite dan Bukit Matanoi yang sering terkesan akibat banjir dan tanah runtuh.
Ketua Armada Bersatu Keningau yang juga Presiden Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert berkata, mereka hadir untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka dan memberi sokongan moral kepada pengusaha-pengusaha untuk terus bersabar dan tidak berputus asa dengan kejadian yang melanda.
“Saya percaya, produk-produk ini perlu dibangunkan semula dan mampu menjana pendapatan untuk komuniti kampung,” katanya ketika ditemui media di sini pada Ahad.
Katanya, beliau akan cuba untuk membantu mendapatkan bantuan dan juga mempromosikan semua produk-produk pelancongan yang terdapat di Daerah Keningau khususnya produk Community Base Tourism (CoBT).
Pada hari yang sama juga, pihaknya turut menyampaikan bantuan kepada lima keluarga yang dipindahkan akibat tanah runtuh di Kampung Matanoi, di sini.
Katanya, Armada Bersatu Keningau berharap dengan bantuan yang disampaikan berupa tilam serta bakul makanan tersebut dapat meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga yang terlibat.
Katanya, bantuan tersebut diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Matanoi dan turut hadir Pemaju Mukim Apin-Apin, Dennis Joachim.-pr/BNN