KOTA KINABALU: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sebanyak RM150 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, semalam, adalah pakej rangsangan secara menyeluruh yang akan memberi manfaat kepada Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pakej rangsangan yang amat komprehensif itu, yang pasti memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi di Sabah. “Peruntukan yang merangkumi suntikan fiskal RM10 bilion adalah besar dan inilah yang diperlukan negara sekarang untuk mengatasi impak penutupan kali ketiga seluruh negara oleh COVID-19,” katanya. Hajiji berkata, ini sangat baik bagi penduduk di Sabah yang akan menerima bantuan wang tunai dari kerajaan negeri di bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0 selain Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bernilai RM4.6 bilion di bawah Pemulih.
BKC dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 11 juta isi rumah, warga emas dan individu bujang dalam kategori B40 dan M40 di negara ini. Menerusi Pemulih, isi rumah B40 akan menerima sebanyak RM500 daripada kerajaan pada Ogos dan RM300 pada Disember; individu bujang B40 akan menerima RM200 pada Ogos; isi rumah M40 menerima RM250 pada Ogos manakala individu bujang M40 akan menerima RM100 pada Ogos.
Isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin akan menerima bantuan sebanyak RM1,800. Ketua Menteri berkata peruntukan sebanyak RM300,000 kepada Ahli Parlimen untuk bantuan bakul makanan akan membantu ramai golongan yang terkesan di kawasan masing-masing.
Beliau juga mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memulakan kemudahan perbankan mudah alih di Sabah pada bulan Julai ini, bagi memberi akses yang lebih mudah dalam perkhidmatan bank kepada penduduk di luar bandar.
Kerajaan juga akan menawarkan dana sebanyak RM18 juta kepada bank tempatan untuk menyediakan kira-kira 30 unit bank bergerak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang meliputi 250 kawasan luar bandar. Menurut Hajiji, Pemulih menyediakan bantuan kewangan yang lebih baik kepada petani, kontraktor, perusahan kecil dan sederhana (PKS), pengusaha taska, pengusaha kemudahan sukan, seni kreatif, orang kurang upaya (OKU) dan sektor pelancongan.
Katanya, Sabah juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM400 juta untuk meningkatkan bekalan vaksin negara dan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Hajiji berkata, pemberian moratorium pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat kepada semua peminjam individu dan pengusaha mikro membuktikan keprihatinan kerajaan kepada keperluan semua rakyatnya.
“Langkah untuk memperbanyakkan Elaun Mencari Pekerjaan kepada bukan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terutama kepada graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja tidak formal, yang mana mendaftar di bawah platform MyFuture Jobs, bakal menerima sekurang-kurangnya RM300. Ini adalah sangat bermakna,”katanya.-pr/BNN