Khemah HQE untuk saringan bukan tidak cukup katil

0
71

KOTA KINABALU: Pembukaan khemah di Jabatan Kecemasan dan Jabatan Pesakit Luar Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini tiada kaitan isu ketiadaan katil.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata sebaliknya khemah berkenaan bertujuan mengasingkan pesakit yang menghidap penyakit berjangkit daripada pesakit lain yang mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

“Hampir semua hospital serta klinik kesihatan di negeri ini sudah membuka khemah saringan seumpama itu. Saringan awal dan pemeriksaan akan dibuat pegawai perubatan di khemah ini.

“Langkah ini dapat mengelakkan pesakit yang menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19 menjangkiti pesakit lain atau petugas kesihatan yang berkongsi ruangan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyatakan khemah bagi Individu Bawah Siasatan (PUI) adalah tempat saringan untuk pesakit yang ada sejarah kontak dengan pesakit COVID-19.

Dengan adanya khemah ini, pesakit akan diasingkan serta diberi rawatan awal sebelum dimasukkan ke Wad Isolasi Khusus atau Unit Rawatan Rapi.- sumber Berita Harian