KOTA KINABALU: Ketua Cabang Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong tidak faham sepenuhnya akan keberadaan ADUN Lantikan dari parti Parti Islam SeMalaysia (PAS) di dalam kerajaan baru Sabah.

2. Maka itu mereka terus mempersalahkan STAR Sabah dan presiden STAR Sabah atas perlantikan wakil dari PAS ini.

3. Warisan ini tidak henti-henti menyerang STAR Sabah sejak dari mereka bergelar kerajaan lagi sehingga kini yang mana parti mereka ditolak oleh rakyat tetapi mereka terus-menerus mempersalahkan STAR Sabah.

4. Mereka juga menuduh saya angkuh dengan mengatakan bahawa saya sengaja memutarbelitkan fakta mengenai perlantikan wakil PAS ini yang mana menurut Wong, STAR Sabah melakukan ketidakadilan terhadap penduduk pribumi Sabah khususnya kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

5. Saya nyatakan disini, setelah parti Warisan kalah dan ada seorang ADUN lantikan daripada PAS oleh kerajaan baru Sabah barulah Warisan dan Wong memperbesar-besarkan isu ini. Dahulunya mereka tidak pun terfikir akan nasib KDMR ketika mereka berkuasa.

6. Saya hendak tanya Warisan dan Wong dimana anda letakkan suku kaum KDMR semasa kamu berkuasa?

7. Kalau Warisan dan Wong mengatakan bahawa saya ego dan angkuh dan melakukan ketidakadilan terhadap KDMR, kenapa Warisan tidak melantik kaum pribumi seperti kaum Rungus dan Kimaragang atau kaum KDM yang lain sebagai ADUN Dilantik ketika Warisan berkuasa sebaliknya pula menerima DAP sebagai ADUN lantikan?

8. Warisan dan Wong kena ingat apa yang Warisan buat kepada kaum KDMR ini semasa memerintah? Bukankah kaum KDMR ini dilabel sebagai kaum kelas kedua maka pada waktu itu dimana anda untuk mempertahankan sejarah borneo bahawa KDMR ini adalah penduduk asli di Sabah?

9. Saya juga ingatkan Wong semasa adanya kebakaran beberapa rumah di Matunggung, Tandek dan mungkin dikawasan-kawasan KDMR yang lain kenapa kerajaan Warisan tidak menghantar Jabatan Pendaftaran Negara dan jabatan-jabatan lain untuk membantu mangsa tetapi sebaliknya rumah-rumah setinggan yang terbakar mendapat perhatian dan bantuan dengan segera.

10. Suka saya ingatkan Warisan dan Wong bahawa dalam kerajaan baru ini yang dipimpin oleh presiden STAR Sabah sebagai pemimpin no.2 dalam kerajaan Sabah maka terdapat banyak KDMR dalam kabinet Sabah termasuklah kaum Rungus dan Kimaragang yang sebelum ini diabaikan oleh kerajaan Warisan.

11. Jadi disini saya bertanya kepada Warisan dan Wong kembali, siapa sebenarnya yang angkuh dan tidak memberi keadilan kepada KDMR ini?

12. Wong juga mempertikaikan dan memperbesar-besarkan kenyataan presiden STAR Sabah pada awalnya atas penafian pelantikan ADUN PAS ini walaupun selepas itu presiden STAR Sabah membuat penjelasan bahawa pelantikan ini adalah atas budi bucara Ketua Menteri dan kenyataan presiden STAR Sabah cuma merujuk kepada apa yang diviralkan bahawa ADUN PAS yang dilantik akan memegang portfolio sebagai Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, namun nampaknya orang-orang Warisan seperti Wong ini ingin memanjangkan isu ini dengan memutarbelitkan fakta.

13. Saya hendak tanya pula kepada Wong, apa yang boleh dibuat oleh seorang Timbalan Ketua Menteri sekiranya Ketua Menteri berkenaan melantik seseorang ADUN yang sememangnya tanggungjawab KM? Wong kena ingat juga bahawa mantan KM Warisan juga tidak dapat menolak perlantikan wakil DAP berasal dari Pulau Pinang walaupun ianya dipertikaikan oleh rakyat Sabah.

14. Wong juga bertanya, bagainana presiden STAR menganggap perlantikan PAS ini sebagai hanya satu isu yang kecil. Disini saya jawab, bahawa tujuan pemilihan ADUN termasuklah ADUN lantikan ini adalah untuk meminda atau menggubal sesuatu dasar. Maka itu, adakah dasar yang di bawa oleh seorang ADUN lantikan dari PAS ini berjaya sekiranya tidak disokong oleh 78 ADUN yang lain? Sudah tentu tidak!

15. Wong juga membuat alasan bahawa PAS pernah menuduh Alkitab diselewangkan dan juga mereka pernah membuat laporan polis terhadap perayaan Krismas. Sudah tentu saya juga menyelarnya kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini! Tapi Wong kena ingat, bahawa DAP juga turut dilabel sebagai parti yang ekstrems dikalangan orang Melayu di Semenanjung Malaysia malahan ada pemimpin DAP yang tidak membenarkan pembinaan Masjid dan mempertikaikan laungan Azan. Sudah tentu ini juga tidak seharusnya berlaku!

16. Ingat juga bahawa kedua-dua parti ini (PAS dan DAP) sering tuduh-menuduh antara satu dengan yang lain sebagai parti perkauman di tempat asal mereka. Maka, sebagai orang Sabah kita tidak seharusnya terbawa-bawa dengan rentak mereka apabila mereka disini kerana ada kemungkinan parti PAS salah dan ada juga kemungkinan DAP yang salah atau kedua-dua mereka ini memang parti perkauman.

17. Oleh itu, melabel parti PAS sebagai sebuah parti yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Sabah dan menghukum mereka untuk tidak membenarkan seorang wakil mereka di DUN adalah tindakan yang tidak adil kepada penyokong-penyokongnya yang bukan sahaja dikalangan Melayu, Bajau, Dusun dan sebagainya tetapi juga penyokongnya dikalangan pelbagai anutan agama.

18. Satu lagi yang mungkin terlepas pandang oleh Wong tetapi saya percaya diketahui oleh presidennya ialah pada ketika saya menulis ini masih belum ada satu pun undang-undang sama ada diperingkat persekutuan mahupun dalam Perlembagaan Sabah yang tidak membenarkan pelantikan ini dilakukan.

19. Untuk berlaku adil, sekiranya Wong tidak bersetuju dengan PAS di Sabah ini maka seharusnya DAP juga tidak seharusnya dibenarkn bertapak di bumi kita.

20. Pendirian saya tetap teguh, saya tidak menyokong kehadiran parti Malaya ini tetapi bukannya dengan alasan seperti yang diberikan oleh Wong.

21. Saya tidak akan jawab soalan Wong kepada saya sama ada saya bertanggungjawab atau tidak sekiranya terdapat ancaman terhadap kebebasan beragama di Sabah kerana saya juga tidak meminta Wong untuk bertanggungjawab terhadap kebanjiran PTI di Sabah. Saya cuma mahu kerajaan Warisan menyelesaikan masalah PTI ketika mereka berkuasa suatu ketika dulu kerana PTI ini ancaman besar kepada Orang Asal Sabah (OAS).

22. Wong bertanya lagi adakah STAR tunduk kepada KL? Sini saya jawab, itu belum tahu lagi kerana umur STAR dalam kerajaan Sabah belum pun sampai sebulan tapi yang pasti Warisan sudah pun terbukti tunduk kepada Tun Mahathir dan kini mungkin menunggu untuk tunduk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka juga orang yang memimpin parti Malaya.-

S. IR. JOVILIS MAJAMIT Timbalan KetuaBahagian STAR N.07 Tandek