KUDAT: Kerjasama kukuh sesama anggota dalam sesebuah organisasi atau jabatan serta budaya kerja yang cemerlang amat penting jika ingin melihat kemajuan yang ketara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata demikian ketika mengalu-alukan Penolong Pegawai Daerah Kecil (ADO) Matunggong baharu, Willey Lampaki yang  melapor diri untuk bertugas di Pejabat Daerah Kecil Matunggong, menggantikan mantan
ADO Francis Chong yang telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah (DO) Penampang, di majlis serah tugas yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Matunggong, dekat sini, hari ini.
“Saya berharap semua kakitangan di Pejabat Daerah Kecil Matunggong dapat menyokong ketua jabatan yang baru dengan penuh komitmen dan  dedikasi untuk merealisasikan agenda kerajaan negeri.
“Matunggong perlu mencapai banyak sasaran yang telah digariskan oleh kepimpinan di kawasan iaitu agenda untuk membangun kawasan dan rakyat,” kata Julita dalam kenyataan media hari ini.
Julita turut mengucapkan tahniah kepada Francis yang sekarang ini bertugas di Pejabat Daerah Penampang.
“Terima kasih kerana telah menabur jasa di Matunggong. Saya yakin, ADO Willey yang telah bertugas di beberapa pejabat daerah sebelum ini mampu meneraju pentadbiran di Pejabat Daerah Kecil Matunggong dengan baik,” katanya.
Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius, OKK Samuil  dan kakitangan Pejabat Daerah Kecil tersebut.
Sebaik upacara serah tugas tersebut selesai, Julita bersama Willey dan Francis telah melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mini Dewan Urusetia yang mensasarkan 300 orang untuk divaksinasi pada hari tersebut.-pr/BNN
Julita (tengah) menyaksikan serahan Nota Tugas kepada ADO baharu, Willey Limpaki (kanan).