KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dan Amerika Syarikat (AS) sentiasa menjaga hubungan dua hala yang baik dan mesra.
Di peringkat antara negara pula, Malaysia dan AS juga sudah menjalin hubungan dua hala sejak tahun 1957. AS kekal sebagai rakan dagang terbesar di negara ini dan Malaysia adalah salah satu sekutu lama serta terdekat negara itu dalam kerjasama membabitkan bidang ketenteraan, pelaburan, ekonomi dan pendidikan.
Terbaharu dalam kerjasama dua hala itu, AS telah menyumbang sebanyak satu juta dos vaksin kepada Malaysia dan menjanjikan tambahan bantuan COVID-19 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan penghargaan itu kepada Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. Mcfeeters, ketika berhubung secara maya, di sini pada Isnin.
“Kami berterima kasih dengan semua bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Malaysia dan Sabah dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam semulajadi dan yang terbaharu bantuan untuk memerangi pandemik COVID-19.
“Bantuan ini akan mempercepatkan lagi usaha kami dalam memerangi cabaran susulan
penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Hajiji turut menyambut baik janji duta sebanyak USD1 juta sebagai usaha untuk pemuliharaan hidupan liar di Sabah bagi melengkapkan program pelindungan hidupan liar yang sedang dilaksanakan di negeri ini.
Mcfeeters turut menawarkan kerjasama bersama dalam konservasi hutan yang merujuk kepada program Heart of Borneo (HoB), inisiatif konservasi rentas sempadan secara meluas hingga ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia sendiri.
Hajiji dan Mcfeeters turut menyentuh pelbagai isu lain ternasuk Perjanjian Malaysia 1963
(MA63), pemerdangangan manusia, pendatang tanpa izin, dan kerjasama Kedutaan Besar Amerika Syarikat dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menangani keganasan.
Mcfeeters yang memegang jawatan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia pada Februari tahun ini, berkata dia tidak sabar untuk berkunjung ke Sabah iaitu destinasi pelancongan yang terkenal dalam kalangan rakyat negaranya kerana tarikan alam semula jadi dan Gunung Kinabalu.-pr/BNN