KOTA KINABALU: Badan air yang banyak tercemar akibat serangan kiambang Salvinia Molesta di Sabah, dijangka dapat dibersihkan dengan menggunakan kumbang Cyrtobagous Salviniae.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut memuji usaha mesra alam yang diambil Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri menerusi Jabatan Pertanian.
Berasal dari Brazil, rumpai akuatik Salvinia molesta ini tumbuh di permukaan air dan membahayakan biodiversiti serta pelbagai spesies air tawar termasuk ikan dan tumbuhan akuatik.
Kiambang ini pertama kali dikesan di Sabah pada awal tahun 2000. Spesies kumbang dengan muncung panjang, kumbang Cyrtrobagous salviniae atau kumbang salvinia adalah agen pengawal hama biologi untuk Salvinia molesta atau biasanya dikenali sebagai salvinia gergasi kerana kedua-dua yang dewasa dan larva memakan tumbuhan.
Ketika melancarkan program secara maya untuk memperkenalkan Kiambang Cyrtobagous salviniae ke seluruh daerah di Sabah, Ketua Menteri berkata Kiambang gergasi ini atau `giant salvinia’ telah mencemari sekurang-kurangnya 200 badan air seperti sungai, kolam ikan, parit dan sawah di seluruh negeri ini. “Ini adalah keadaan yang serius dan perlu ditangani dengan segera,” katanya sambil menambah bahawa tindakan harus diambil untuk menghentikan penyebaran kiambang ini di Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Beaufort, Kuala Penyu, Papar, Kota Kinabalu, Penampang, Kota Marudu, Kota Belud, Kudat, Tongod dan Tuaran.
Katanya, kerajaan negeri amat menghargai dan menyokong pelbagai langkah yang telah diambil oleh Jabatan Pertanian Sabah bersama Koperasi Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (KOPEL Bhd), Agensi Remote Sensing Malaysia (MYSA), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah dan Sawit Kinabalu Sdn. Bhd dalam aktiviti memantau infestasi (organisma) rumpai kiambang.
“Usaha ini diperlukan bagi memastikan serangan kiambang Salvinia molesta dapat diatasi secara menyeluruh. Justeru itu, saya ingin menyeru seluruh masyarakat di Sabah untuk sama-sama menyertai perjuangan mengawal perebakan kiambang ini bagi memastikan badan air dan alam sekitar terus terpelihara,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Menteri menggesa orang ramai agar sentiasa peka kepada ancaman-ancaman ini dan tidak sewenang-wenangnya membawa, menjual atau menyebarkan apa-apa jenis tanaman, haiwan atau mikroorganisma dari luar negeri atau luar negara tanpa melalui prosedur kuarantin yang betul seperti prosedur-prosedur kuarantin yang dikuatkuasa di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-Peraturan Kuarantin 1981.
Kiambang Salvinia boleh didapati dan dijual dalam talian sebagai perhiasan untuk akuarium.-pr/BNN