Succession plan pejabat-pejabat daerah penting

0
147
Ewon bergambar bersama para penerima anugerah, pegawai yang bersara dan pegawai-pegawai daerah serta pegawai-pegawai KPLB Sabah yang hadir pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Pelan kesinambungan atau succession plan perkhidmatan di pejabat-pejabat daerah di negeri ini sangat penting bagi memastikan kualiti urustadbir sentiasa berterusan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa ekspektasi besar komuniti luar bandar terhadap pembangunan boleh ditangani dan direalisasikan dengan lebih baik apabila para pegawai di pejabat daerah mempunyai “jiwa luar bandar”.

“Sebab itu saya berpendapat ada keperluan untuk menghantar pegawai-pegawai junior yang diambil pada gred 41 dihantar ke pejabat-pejabat daerah agar mereka dapat menjiwai aspirasi luar bandar serta proses urustadbir bermula daripada kampung-kampung dalam daerah.

“Saya percaya ini akan dapat membantu menyediakan mereka menjadi seorang pegawai daerah atau penolong pegawai daerah yang lebih cemerlang bila tiba waktunya.

“Pada masa ini, seseorang pegawai daerah menjawat gred 54 atau 52, manakala penolong pegawai daerah pula di antara gred 44 hingga 48. Saya masih berpendapat sebaik-baiknya seseorang pegawai daerah itu haruslah yang pernah bertugas di pejabat-pejabat daerah sebelumnya. Sebab itu saya berpendapat succession plan bagi pegawai-pegawai daerah sangat penting bermula dengan penempatan pegawai gred 41 di pejabat-pejabat daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan Program SIlaturahim, di Dewan KPLB, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) semasa pertemuan pada pagi tadi (hari ini).

“Dalam pertemuan itu, kami membincangkan pelbagai perkara, antaranya penempatan pegawai muda Gred N41 di mana-mana Pejabat Daerah luar bandar yang mempunyai kekosongan jawatan supaya mereka mendapat pendedahan awal dari segi pentadbiran luar bandar.

“Demikian juga peluang-peluang kenaikan pangkat bagi pegawai-pegawai daerah di dalam Kementerian. KPLB Sabah tidak mempunyai jabatan atau agensi, tetapi menguruskan pejabat-pejabat daerah. Justeru, dalam erti kata lain, pejabat-pejabat daerah inilah menjadi agensi kita dan peluang kenaikan pangkat di Kementerian haruslah mengambilkira perkhidmatan di kalangan pegawai-pegawai daerah ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau, mengesyorkan agar lebih ramai pegawai muda bergred N41 diberi peluang berkhidmat di beberapa pejabat daerah luar bandar di negeri ini untuk dilatih menjadi pegawai daerah dan penolong pegawai daerah pada masa akan datang.

Beliau berkata pendedahan awal kepada tugas-tugas di pejabat daerah akan melengkapkan mereka dengan pengalaman untuk mengemudi pentadbiran peringkat daerah dan juga pejabat daerah Kecil.

Pada majlis tersebut, Ewon menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada enam pegawai kementerian serta meraikan persaraan Setiausaha Tetap KPLB Sabah, Datuk Abu Bakar Latif serta beberapa pegawai daerah dan pegawai kementerian yang bersara wajib atau berpindah ke kementerian lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah kedua-dua Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rasinin Koutis dan Haji Dumi Pangiran Masdal dan Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan.-pr/BNN