Sekolah tempat terbaik pupuk perpaduan-Ewon

0
164
Ewon (empat dari kanan), Wanihim (tiga dari kanan), Noorjani (dua dari kanan) bersama-sama memotong kek sempena sambutan Mini Kaamatan dan Hari Guru, pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, institusi pendidikan seperti sekolah dan kampus pengajian merupakan tempat terbaik memupuk perpaduan dan kerjasama sesama warga masyarakat

Beliau berkata, ini kerana, selain pembudayaan kecemerlangan akademik, sekolah juga memikul tanggungjawab dan peranan besar memupuk dan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan para pelajar.

“Malaysia dan juga negeri Sabah tercinta, terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi saya, tidak ada tempat lain yang paling sesuai mendidik, memupuk dan memperkasakan pembudayaan integrasi dan perpaduan kaum majmuk melainkan di sekolah-sekolah dan kampus-kampus pengajian tinggi.

“Negara kita hanya akan dapat mara ke hadapan dengan lebih baik dalam pelbagai aspek kemajuan apabila masyarakat majmuk kita saling hormat-menghormati, bersatu padu dan bekerjasama sebagai satu pasukan keluarga besar,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Mini Kaamatan dan Hari Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu pada Isnin (hari ini).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata: “Saya memilih hadir ke program sekolah ini kerana pemimpin yang dinamakan untuk sekolah ini, iaitu Tun Fuad Stephens merupakan antara nasionalis Sabah yang berjaya memupuk kerjasama dan perpaduan rakyat Sabah. Beliau (Allahyarham Tun Fuad) juga berjaya mendapatkan pengisytiharan Kerajaan Sabah pada era itu supaya Kaamatan dijadikan acara rasmi Kerajaan melalui pewartaan cuti rasmi.

“Kaamatan kini bukan hanya disambut oleh masyarakat Kadazandusun tetapi dirayakan oleh seluruh rakyat Sabah di pelbagai peringkat termasuk di sekolah dan kampus pengajian. Saya berharap sambutan seperti ini dapat memupuk perpaduan dan semangat kerjasama semua rakyat Sabah,” katanya.

Beliau juga mengalu-alukan usaha pihak sekolah menganjurkan sambutan sedemikian kerana ianya memberi peluang kepada para pelajar untuk menghargai warisan budaya serta bahasa ibunda.

“Program seumpama ini juga dapat mencetuskan kerjasama di antara pentabiran sekolah, ahli-ahli PIBG dan para pelajar serta komuniti setempat ke arah pembudayaan kecemerlangan dalam pelbagai aktiviti. Saya turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengetua dan seluruh warga SMK Taman Tun Fuad yang memenangi beberapa anugerah kecemerlangan selama ini,” katanya.

Turut hadir Pengetua SMK Taman Tun Fuad Wanihim Othman, YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Taman Tun Fuad Noorjani Sulaiman, guru-guru dan para pelajar sekolah.-pr/BNN