KOTA KINABALU: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini menyaksikan pembayaran dividen interim ketiga sebanyak RM14,448,000.00 daripada Kumpulan Sawit Kinabalu kepada
Kerajaan Negeri.

Pembayaran dividen interim itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sawit
Kinabalu, Datuk Bacho Jansie kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, yang mewakili kerajan negeri, pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu hari ini.

Sawit Kinabalu berjaya merekod keuntungan sebanyak RM333 juta sebelum cukai berbanding unjuran sebanyak RM131 juta iaitu yang tertinggi dalam sejarah sejak
syarikat ini diperbadankan 25 tahun yang lalu.

Sementara itu, Bacho berkata melalui keuntungan yang diperolehi ini, Sawit Kinabalu akan membayar RM14,448,000.00 kepada Kerajaan Negeri Sabah sebagai dividen
interim yang ke-3 selepas pembayaran dividen bagi suku pertama dan kedua tahun
2021 iaitu sebanyak RM10,000,000.00 pada bulan September yang lalu.
Jumlah dividen yang dibayar sebanyak 24.4 juta ringgit pada tahun ini adalah
pertambahan kepada jumlah dividen sebanyak RM1.2 bilion yang telah dibayar kepada
pihak Kerajaan Negeri sejak tahun 1996.

Turut berlangsung pada hari yang sama adalah acara Menandatangan Memorandum
Persefahaman (MoU) di antara Sawit Kinabalu Sdn Bhd dan Hernan Corporation Sdn
Bhd bagi projek kerjasama menjalankan penanaman buah durian.

Memorandum persefahaman itu juga telah ditandangani oleh Bacho dan Puan Anna Teo selaku Ketua Pegawai Eksekutif Hernan Corporation Sdn Bhd.

Memorandum persefahaman yang dimeterai ini bertujuan membangunkan projek
tanaman durian; termasuk pemasaran dan pengeksportan buah durian asli dan produk
nilai tambah berasaskan durian ke pasaran domestik dan antarabangsa seperti
Australia, China, Japan, Amerika Syarikat dan lain lain lagi.-pr/BNN