KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan yang betul untuk membawa kemajuan kepada Sabah dan rakyatnya walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji
Noor.

“Pandemik ini telah membawa banyak cabaran tetapi kita telah melakukan yang terbaik untuk menanganinya termasuk krisis ekonomi dan kesihatan selama hampir dua tahun,” katanya.

“Kerajaan negeri tidak pernah goyah dalam usaha melaksanakan pelan pembangunan walaupun ketika krisis dan kita akan meneruskannya dengan bersungguh-sungguh pada tahun 2022 untuk memastikan agenda pembangunan seperti yang kita gariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) serta Belanjawan 2022 negeri berjalan dengan lancar,” kata Hajiji.

Hajiji berkata pelan pembangunan lima tahun Hala Tuju SMJ di bawah kerajaan negeri GRS yang dilancarkan dengan jayanya pada bulan Mac lalu, telah menyaksikan pemeteraian tiga pelaburan berskala besar bernilai RM10 bilion iaitu Lok Kawi Resort City, pembinaan kilang pengeluaran kerajang tembaga dan projek penanaman kelapa berhasil tinggi.

“Semua ini amat penting dan akan membawa impak yang besar kepada rakyat Sabah serta ekonomi negeri,” katanya dalam perutusannya sempena sambutan Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah berhenti mencari lebih banyak lagi pelaburan berimpak tinggi dan beberapa lagi perbincangan masih dijalankan antara pelabur bersama kerajaan negeri untuk membawa pelaburan ke Sabah, sambil menambah bahawa negeri ini berada di landasan yang betul untuk menjadi pusat pangkalan data pelabur kepada ASEAN seiring kerangka pembangunan kerajaan GRS menerusi platform Hala Tuju SMJ.

“Apabila cadangan pelaburan ini dimuktamadkan, ia akan membantu merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri kita untuk membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya.

Ketua Menteri turut merakamkan terima kasih kepada rakyat Sabah atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada kerajaan negeri GRS untuk memimpin serta membangunkan negeri ini, dan meminta mereka agar terus menjaga keamanan serta kestabilan bagi memastikan Sabah dapat menarik lebih ramai pelabur berpotensi ke negeri ini.

Kelulusan sebulat suara Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 di Parlimen baru-baru ini, adalah satu peristiwa penting yang akan membuka jalan kepada pemulihan sepenuhnya hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri berkata beberapa tuntutan lain dari Sabah telah berjaya diselesaikan melalui Majlis Khas mengenai MA63, sambil menambah bahawa penurunan kuasa kepada Sabah untuk pengeluaran lesen penangkatan ikan laut dalam adalah salah satu bukti bahawa hak dan keistimewaan Sabah, seperti yang diperuntukkan di bawah MA63, telah diiktiraf.

Sebagai penutup tirai bagi tahun yang produktif ini, Hajiji berkata kejayaan lain ialah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara kerajaan negeri dan PETRONAS yang menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas di Sabah. Hasilnya juga adalah penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, sambil menambah bahawa kerajaan negeri juga dalam proses memuktamadkan Pelan Induk Gas Sabah dengan PETRONAS yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Hajiji berharap sambutan Krismas akan mengukuhkan perpaduan, toleransi beragama dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Marilah kita ketepikan perbezaan dan fokus kepada nilai yang menyatukan kita, bukan memecahbelahkan,” katanya.

Ketua Menteri turut mengucapkan Selamat Hari Krismas dan Tahun Baharu 2022 kepada semua.