KOTA KINABALU: Seramai 37 wanita daripada pelbagai latar belakang perniagaan dan industri diperkasa menerusi Program Perantisan & Pementoran Kepimpinan Wanita Industri (PERANTIS 2026) bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan, pengurusan kewangan, teknologi dan strategi pertumbuhan.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata latihan dan pementoran penting bagi memastikan wanita bukan sahaja mempunyai pengetahuan, malah berani membuat keputusan dan memimpin organisasi atau perusahaan masing-masing.

“Wanita perlu berani melangkah ke hadapan, yakin membuat keputusan serta bersedia memanfaatkan teknologi dan peluang baharu.

“Ilmu yang diperoleh perlu diterjemahkan kepada tindakan supaya mampu memberikan impak kepada diri, organisasi dan ekonomi,” katanya ketika merasmikan PERANTIS 2026 di IDS, di sini, pada 30 September lalu.

Program tiga hari itu memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan wanita, termasuk kepimpinan diri, komunikasi dan pengurusan emosi, kewangan, rundingan industri, tadbir urus serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan.

Peserta turut dibimbing dalam strategi pertumbuhan dan inovasi, selain menyediakan Pelan Tindakan Kepimpinan Individu serta menetapkan sasaran kepimpinan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tempoh tiga bulan.

PERANTIS 2026 ialah inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Sabah, dianjurkan Primal Impact Sdn Bhd dengan IDS sebagai rakan strategik.

Wakil JPW, Liu Kim Pau @ Jesicca, berkata program itu diharap menjadi platform melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berwibawa di Sabah, selain membantu mereka memanfaatkan teknologi, memperkukuh keupayaan ekonomi dan meningkatkan pendapatan.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil kepada 37 peserta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka sepanjang mengikuti PERANTIS 2026.-pr/BNN