KENINGAU: Ketua Daerah (KD) N.40 Bingkor yang baharu dilantik, Alexsius Tingadon, bertekad memperkukuh keharmonian komuniti serta mengangkat martabat Institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) supaya terus dihormati, diyakini dan kekal relevan dalam kalangan masyarakat Anak Negeri.

Beliau berkata, amanah itu akan dilaksanakan berlandaskan prinsip tanggungjawab, profesionalisme, integriti dan keadilan, dengan memastikan setiap urusan di bawah bidang kuasa MAN dikendalikan secara adil dan saksama.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah hati. Keutamaan saya adalah memastikan keharmonian komuniti terus diperkukuhkan, di samping MAN melaksanakan tanggungjawab secara adil, profesional dan berintegriti,” katanya.

Menurutnya, MAN mempunyai peranan penting dalam memelihara adat, memperkukuh keharmonian serta membantu menyelesaikan pertikaian dalam kalangan masyarakat Anak Negeri berdasarkan bidang kuasa yang diperuntukkan.

Sehubungan itu, beliau mahu kewibawaan institusi berkenaan terus diperkasakan supaya mampu mendepani perubahan dan cabaran semasa, selain kekal menjadi institusi yang diyakini masyarakat.

Alexsius, seorang pesara kerajaan, mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan termasuk pernah menjadi pengetua di SMK Penangah, Tongod; SMK Telupid; SMK Sook dan SMK Bingkor, Keningau.

Anak jati Kampung Bingkor itu memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada Waverly College, Iowa, Amerika Syarikat serta Ijazah Sarjana Pengurusan daripada Universiti Selangor (UNISEL).

Beliau berasal daripada keturunan etnik Gana dan fasih berbahasa Melayu, selain boleh berbahasa Inggeris, Dusun Liwan serta bahasa Gana.

Beliau berkata, pengalaman dalam perkhidmatan awam, khususnya sebagai pengetua, banyak membentuk kemahiran kepimpinan, pengurusan, disiplin, integriti serta membuat keputusan secara profesional dan berhemah yang akan dimanfaatkan dalam melaksanakan amanah baharu itu.

Dalam pada itu, Alexsius menyeru semua pemegang adat serta warga kerja MAN Daerah Keningau memperkukuh kerja berpasukan, meningkatkan pengetahuan berkaitan adat dan enakmen MAN serta mengamalkan komunikasi yang harmoni bagi memastikan pentadbiran institusi lebih cekap dan berkesan.

“Saya berharap semua warga kerja dapat bekerja sebagai satu pasukan, saling menghormati, berkongsi pandangan dan terbuka menerima idea serta teguran membina. Tanggungjawab memastikan institusi ini terus relevan, diyakini dan dihormati adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Wakil Rakyat Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Datuk Ayub atas cadangan dan keyakinan yang diberikan, selain JHEANS serta Kementerian Kemajuan Tempatan dan Perumahan atas urusan berkaitan pelantikannya.

Beliau berharap kerjasama semua pihak terus diperkukuh bagi memastikan MAN kekal berwibawa dan menjadi tonggak penting dalam memelihara keharmonian masyarakat Keningau.-pr/BNN