KIULU: Semua ahli politik di Sabah dari kedua-dua belah pihak perlu menghentikan politiking dan sebaliknya menumpukan usaha bersama untuk membawa pembangunan kepada negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, pergaduhan politik yang berterusan hanya akan mengakibatkan wakil rakyat hilang tumpuan daripada fokus asal masing-masing iaitu menjayakan agenda memajukan rakyat.
“Kita mesti mengalihkan perhatian kita kepada rakyat kerana mereka telah menaruh kepercayaan kepada kita (wakil rakyat) untuk membawa perubahan kemajuan yang lebih baik.
“Sekarang adalah masanya untuk menunjukkan keikhlasan dan keupayaan kita untuk bekerjasama demi menjadikan Negeri Sabah lebih maju dan cergas dari segi ekonomi.
“Kita mungkin mempunyai ideologi politik yang berbeza, tetapi apabila bercakap mengenai membawa perubahan untuk kepentingan rakyat dan negeri, kita semua harus bersama tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” kata Joniston, yang juga setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ketua penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Joniston berkata demikian pada majlis penyerahan bakul makanan yang disumbangkan oleh seorang dermawan kepada keluarga yang memerlukan di Balai Raya Kampung Poring di sini, pada Selesa.
Selain itu, Joniston turut menyumbangkan topeng muka, peralatan suhu badan dan sanitasi kepada 11 rumah ibadat di kawasan itu.
Beliau berkata kerajaan negeri GRS, di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat seperti yang terbukti daripada RM2 juta yang diperuntukkan kepada setiap DUN pada tahun ini.
Joniston juga berkata kerajaan negeri GRS kukuh dan masih mempunyai baki empat tahun lagi untuk menunaikan mandat yang diberikan rakyat.
Sementara itu, Joniston menasihati penduduk kampung agar tidak leka dan sentiasa mematuhu prosedur operasi standard walaupun jumlah kes Covid-19 di negeri ini semakin berkurangan.
Salah seorang penerima bungkusan makanan, Samulin Gosudang dari Kampung Poring, melahirkan rasa syukur ke atas sumbangan yang diberikan kerana ia dapat membantu meringankan beban keluarganya.
“Kami sangat terharu dengan sikap murah hati individu kerana tampil memberikan kami bakul makanan.
“Bantuan ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada golongan miskin yang telah terjejas teruk oleh pandemik,” katanya.
Dalam majlis itu, Joniston turut melawat Kampung Mantob dan Libodon untuk mengagihkan bakul-bakul makanan dengan bantuan ketua masyarakat kampung. -pr/BNN