DUN Lumadan anjur perayaan Tahun Baharu Cina

0
Ruslan (kiri) menyerahkan ‘angpow’ kepada Lee majlis Tahun Baharu Cina, DUN Lumadan kelmarin
BEAUFORT: Sambutan Tahun Baharu Cina telah diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Haji Ruslan Muharam berkata, sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, yang diadakan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara etnik walaupun berbeza mengikut agama dan kepercayaan, khususnya dalam DUN Lumadan.
“Setelah dua tahun kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini kita bersyukur kerana dapat merayakan Tahun Baharu Cina.
“Di kesempatan ini saya berterima kasih kepada Ketua Masyarakat Cina (KMC) DUN Lumadan atas persiapan yang telah dibuat untuk majlis ini,” katanya.
Ketua Masyarakat Cina DUN Lumadan seramai lima orang iaitu Koh Hai Ngan, Chiam Thau Liam, Pung Tet Kong, Dominic Olok dan Lee Chin Ching.
Majlis sambutan Tahun Baharu Cina DUN Lumadan tersebut diadakan di kediaman Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) Beaufort Selatan, Lee Chin Loong kelmarin.
Ia dihadiri oleh para pemimpin masyarakat iaitu Ketua Daerah, Orang Kaya-Kaya (OKK) Hj Tajudin Hj Asari; Ketua Anak Negeri (KAN), Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Sambutan tahun ini adalah tahun harimau, yang membawa makna kekuatan dan sudah tentu kita mengharapkan dan yakin bahawa ekonomi dan perpaduan kamu sesama kita akan kuat,” tambahnya lagi.
Ruslan turut menyampaikan ‘ang pow’ kepada golongan yang hadir yang terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas.-pr/BNN
Ruslan (kiri) menyerahkan ‘angpow’ kepada Lee majlis Tahun Baharu Cina, DUN Lumadan kelmarin