KOTA KINABALU: Mantan Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, menyambut baik penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim berhubung keputusan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap sebahagian penghakiman mahkamah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri.
Beliau berkata kenyataan PMX itu penting bagi memperjelaskan bahawa langkah rayuan yang diambil oleh Putrajaya tidak bermaksud menolak hak Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, penegasan PMX bahawa kerajaan tidak merayu isu hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah menunjukkan komitmen jelas Kerajaan Persekutuan untuk menghormati hak perlembagaan negeri itu.
“Penjelasan Anwar amat penting kerana ia memberi gambaran sebenar bahawa rayuan yang difailkan bukan bertujuan menolak hak Sabah, sebaliknya bagi mendapatkan penjelasan terhadap beberapa kenyataan dalam penghakiman mahkamah.
“Perkara ini perlu difahami secara objektif supaya ia tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu khususnya parti pembangkang, yang cuba menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Persekutuan tidak komited terhadap MA63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata rakyat Sabah wajar menghargai pendirian kerajaan pimpinan Anwar yang secara terbuka menegaskan bahawa komitmen terhadap hak 40 peratus hasil bersih negeri itu tidak pernah dipertikaikan.
Katanya, kenyataan tersebut juga memberi keyakinan bahawa usaha memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.
“Yang penting sekarang ialah memastikan pelaksanaan perkara yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara tersusun dan berlandaskan proses perundangan serta pentadbiran yang jelas,” katanya.
Dalam masa sama, Jerry turut menyifatkan pendekatan PMX yang mahu mendapatkan penjelasan rasmi melalui proses mahkamah sebagai langkah matang bagi memastikan fakta sejarah dan peranan pemimpin terdahulu negara dihormati.
Beliau berkata pemimpin terdahulu Persekutuan dan Sabah memainkan peranan besar dalam pembentukan Malaysia, justeru sebarang tafsiran yang boleh menimbulkan kekeliruan wajar diperjelaskan melalui saluran perundangan yang sewajarnya.
“Pendekatan ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan semua perkara ditangani secara telus dan berlandaskan undang-undang, sambil terus mengekalkan komitmen terhadap hak Sabah,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan yang meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk bagi projek bekalan air, elektrik, infrastruktur serta pelbagai program pembangunan rakyat.
Menurutnya, langkah tersebut membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan pembangunan di Sabah terus diperkukuh selaras dengan semangat MA63 dan pembentukan Malaysia.-pr/BNN





