Patriotisme bermula dengan komuniti yang bertoleransi

0
Ewon menyampaikan hadiah kepada pemenang larian merdeka.

KOTA BELUD: Semangat patriotisme harus bermula dengan pembentukan kejiranan komuniti yang saling bertoleransi dan hormat-menghormati sesama sendiri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, kejiranan komuniti yang harmoni akan menentukan sejauh mana sesebuah negara itu berupaya mengekalkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesinambungan kemajuan.

“Pembudayaan patriotisme di peringkat kejiranan komuniti boleh dimulakan semudah penganjuran aktiviti sukan, riadah, kebudayaan dan bidang-bidang minat yang dikongsi bersama oleh komuniti tersebut.

“Bagi saya, semakin kerap aktiviti santai temu dikalangan komuniti maka semakin dekat kita kepada semangat toleransi kerana ianya memberi peluang kepada kita untuk saling mengenali antara satu sama lain.

“Bila kita tidak mengenali jiran tetangga, bila kita kurang berkomunikasi sesama sendiri, maka sudah tentunya ia mencetuskan satu jurang dalam komuniti tersebut,” katanya.

Ewon berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Kelab Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Blok Damai di Padang Dudar Kg Piasau, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa konsisten memberi sokongan kepada pembangunan keusahawanan di negeri ini termasuklah memperkenalkan Skim Pembangunan Usahawanan Belia, Program Satu Daerah Satu Industri dan pelbagai lagi program ekonomi lain yang dilaksanakan oleh beberapa kementerian.

“Saya berharap lebih ramai komuniti kita yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan menerokai seberapa banyak peluang yang disedikan oleh pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan.

“Maklumat ini sebenarnya berada di hujung jari kita sahaja dan sebaiknya kita lebih kerap mengetuk pintu agensi-agensi yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan.

“Golongan belia, termasuklah graduan, harus mengambil peluang ini. Saya sentiasa percaya seseorang graduan seharusnya berupaya mencipta peluang pekerjaan, bukan semata-mata mencari pekerjaan,” katanya.

Larian Merdeka sempena program itu disertai lebih 150 peserta.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada jawatankuasa kelab untuk membantu ahli-ahli kelab.-pr/BNN