Persatuan rela sokong tuntutan 20 peratus royalti minyak

Dato' Jerry Ambuting Hj Mohd Said

0
218

KOTA KINABALU:  Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Rela Negeri Sabah menyokong penuh langkah dan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah menuntut 20 peratus royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan.

Presidennya, Brig Jen (K) Rela Dato’ Jerry Ambuting Hj Mohd Said berkata, tuntutan oleh Sabah itu perlu difahami oleh Kerajaan Pusat berdasarkan realiti geografi dan ekonomi negeri Sabah yang memerlukan peruntukan lebih besar untuk membangunkan Sabah.

“Kami menyokong penuh langkah Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal yang telah membuat inisiatif untuk berjumpa dengan syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk mengemukakan pendirian ini secara lebih rasional dan tegas.

“Pihak kami juga menyambut baik tindakan Shafie untuk bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membincangkan perkara ini.

“Ini merupakan langkah terbaik untuk  kebaikan rakyat dan pembangunan negeri Sabah”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jerry berkata, pihak Putrajaya perlu sedar bahawa negeri Sabah perlu suntikan dana  untuk membolehkan kerajaan negeri melaksanakan  pembangunan  termasuk kemudahan infrastruktur asas yang masih lagi daif dan perlu diberikan perhatian.

Menurutnya, banyak lagi pembangunan yang tidak bersifat bertompok perlu dibangunkan agar lebih banyak industri dan peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat Sabah.

“Ini penting bagi memastikan tidak berlaku penghijrahan anak-anak Sabah yang berkelulusan universiti ke Semenanjung Malaysia seperti yang berlaku sekarang.

“Pertimbangan royalti 20 peratus ini penting bagi memberikan keyakinan kepada pengundi di Sabah bahawa Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya sangat mengambil berat rakyat Sabah yang turut menyokong dan memberi
kemenangan kepada PH pada pilihan raya umum (PRU) lepas”, katanya.

Jerry berkata, sekiranya Kerajaam PH terus berdalih  dan menolak tuntutan royalti minyak sebanyak 20 peratus berdasarkan untung kasar, maka keyakinan rakyat Sabah terhadap Parti Warisan dan sekutunya juga akan terjejas  dan mereka mungkin tidak akan menyokong  PH lagi pada PRU15 akan datang.-Oleh LSK/BNN