KOTA MARUDU:  Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tandek,  Hendrus Anding menyeru agar rakyat terus yakin kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diterajui oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang akan terus memperjuangkan hak-hak negeri dan rakyat.
Hendrus membuat seruan ini semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBS di sini, pada Khamis.
Beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak (HESS), yang tidak putus-putus memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah, seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di peringkat Kerajaan Persekutuan.
Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan juga menyentuh mengenai isu guna tanah di Sabah oleh syarikat-syarikat dari Semenanjung yang perlu dikaji semula mengenai tempoh perjanjian.
“Keutamaan perlu diberikan kepada orang Sabah sendiri bagi menjawat jawatan seperti Pengarah Urusan (MD), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lain-lain jawatan tertinggi dalam pentadbiran,” katanya.
Manakala, pemberian geran peruntukan untuk penyukatan tanah-tanah adat dan persendirian di Sabah perlu terus dilaksanakan supaya lebih banyak tanah-tanah di negeri ini dapat disukat dan geran tanah dikeluarkan kepada pemilik tanah.
Hendrus turut  mengajak ahli-ahli PBS untuk melibatkan diri dalam sektor 3P iaitu Pertanian, Penternakan dan Perikanan, kerana Kerajaan sedang dalam usaha memperkasakan tiga sektor ini.
Katanya, sektor 3P ini boleh memberikan pendapatan yang lumayan kepada rakyat dan kerana itu, peluang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan bersama.
Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam AGM pada kali ini dan mengucapkan selamat bertanding kepada semua ahli yang bertanding bagi menjawat jawatan di peringkat Bahagian. – pr/BNN