KENINGAU: Majlis Reunion Alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran 2026 (Reunion Kent 2026) yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 26 September depan ditunda ke 3 Oktober 2026.
Setiausaha Jawatankuasa Reunion Kent 2026, Puan Suarity Rahmat, berkata keputusan berkenaan dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, pada mesyuarat jawatankuasa di Bilik Mesyuarat Bandukan Resort, hari ini.
Katanya, penundaan tarikh berkenaan dibuat berikutan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, selain bagi memastikan segala persiapan dan perjalanan majlis dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan lancar.
“Bagaimanapun, lokasi majlis kekal seperti yang ditetapkan sebelum ini, iaitu di Bandukan Resort, Keningau,” katanya.
Suarity berkata, sehingga kini seramai 103 bekas pelajar Maktab Perguruan Kent sudah mendaftar untuk menghadiri Reunion Kent 2026.
Beliau berkata, majlis itu terbuka kepada semua alumni dan bekas pelajar Maktab Perguruan Kent tanpa mengira tahun pengajian atau kohort.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih ramai bekas pelajar Kent untuk menyertai majlis berkenaan sebagai wadah mengeratkan kembali silaturahim, mengimbau kenangan ketika menuntut di maktab serta memperkukuh hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama.
“Reunion ini bukan sekadar pertemuan semula, tetapi kesempatan untuk kita bertemu sahabat lama, berkongsi pengalaman dan mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan alumni Maktab Perguruan Kent.
“Kami amat mengalu-alukan kehadiran semua bekas pelajar Kent untuk bersama-sama memeriahkan Reunion Kent 2026 pada 3 Oktober nanti,” katanya.
Jawatankuasa penganjur turut meminta semua peserta yang sudah membuat pendaftaran supaya mengambil maklum perubahan tarikh berkenaan dan terus memberikan sokongan bagi memastikan Reunion Kent 2026 dapat berlangsung dengan jayanya.-pr/BNN





