PENAMPANG: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah -Barisan Nasional (GRS-BN) komited dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, mengambil kira kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,
Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM227.4 juta kepada sektor pelancongan
di negeri ini dalam Belanjawan Sabah 2022.
“Daripada jumlah itu sebanyak RM131.93 juta kepada Kementerian Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar serta jabatan dan agensi di bawahnya. Ini adalah
antara komitmen berterusan Kerajaan untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam
sekitar.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan setiap komponen
dalam mewujudkan kelestarian hijau akan dapat diberikan perhatian yang sewajarnya”,
katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan
Peringkat Negeri Sabah 2022 di Dewan Kadazandusun Cultural Association Sabah
(KDCA), hari ini.
Hajiji berkata, negeri Sabah juga diberikan penghormatan selaku tuan rumah bagi acara
Kongres Taman-Taman Asia kedua yang diadakan di Kota Kinabalu minggu lalu,
anjuran bersama dengan International Union for the Conservation of Nature (IUCN).
“Saya menyeru seluruh rakyat untuk sentiasa menjaga alam semula jadi, flora dan fauna
yang ada di negeri ini. Seperti yang dilaporkan oleh media, banyak bencana alam
berlaku berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh dunia, termasuk di
negara kita.
“Keadaan ini sudah pasti turut mempengaruhi hasil pengeluaran makanan yang
akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat”, tambahnya.
Hajiji berkata, pemilihan tema Perayaan Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Menjiwai
Alam Semula Jadi” (“Kaamatan Monunduan Do Winorun”) amat tepat terutama sekali
dengan pelbagai fenomena akibat perubahan iklim dunia pada masa kini.
Katanya, dengan tema itu diharapkan ia dapat memberi kesedaran dan peringatan kepada semua lapisan masyarakat untuk memelihara dan memulihara alam semula jadi yang kita warisi untuk generasi akan datang.
Hajiji berkata, Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) merupakan budaya yang diwarisi sejak zaman-
berzaman.
Menurutnya, pesta ini bukan sahaja bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas hasil
tuaian yang baik tetapi juga memberi peluang kepada saudara mara untuk berkumpul
dan mengeratkan silaturahim.
Beliau berkata, rakyat Sabah sangat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai
budaya dan seni tradisi yang kaya.
“Saya percaya setelah sebulan pesta ini berlangsung, ia telah memperkukuh dan
memantapkan lagi semangat perpaduan, persaudaraan, persahabatan dan semangat
kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai suku, kaum dan budaya.”
“Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama
dan bangsa adalah gambaran dan semangat sebenar Keluarga Malaysia yang perlu
dikekalkan dan dipelihara selamanya”.
“Saya ingin menyeru seluruh rakyat untuk mengekalkan budaya perpaduan dan
permuafakatan demi masa depan yang lebih cemerlang untuk rakyat Sabah dan
generasi akan datang”, tegasnya.
Hajiji turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3.5 juta bagi projek pembesaran
Dewan KDCA, gerai makan dan kerja-kerja berkaitan.-pr/BNN