KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) sentiasa berusaha mengekalkan hubungan yang baik dan mesra dengan semua badan agama di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Katanya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinannya akan menegakkan dan melindungi
kebebasan beragama, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Menghormati kepercayaan (agama) antara satu sama lain, sentiasa menjadi tonggak
kekuatan dan perpaduan kita di Sabah. Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita di
Sabah dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni selama ini. Justeru,
kita mesti melindungi ini”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Bishop Anglikan
Diosis Sabah, The Most Reverend Datuk Melter Jiki Tais dan rombongan di pejabatnya
di Menara Kinabalu, hari ini.
Hajiji berkata, Kerajaan GRS-BN juga komited dan meneruskan pemberian bantuan
kewangan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah-sekolah bukan
Islam di negeri ini.

Menurutnya, dalam Belanjawan Negeri Sabah tahun 2022, jumlah peruntukan yang
diluluskan untuk Pemberian Bantuan Kewangan Bagi Badan-Badan Keagamaan Bukan
Islam sebanyak RM27 juta.

“Setakat bulan Mei 2022, Sekolah-Sekolah Bukan Islam yang menerima bantuan
kewangan melalui peruntukan khas Ketua Menteri sejumlah RM 2,403,150.00.

“Manakala Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam yang menerima bantuan kewangan
melalui peruntukan khas saya, setakat Mei 2022 ialah sebanyak RM 1,730,000.00”,
tambahnya.

Hajiji berkata, secara peribadi beliau dari keluarga berbilang kaum dan agama serta
mengamalkan prinsip hormat menghormati dalam keluarga.

 

Beliau juga mengucapkan terima kasih diatas penghormatan dan jemputan sebagai
tetamu kehormat Majlis Kesyukuran Ulang Tahun ke-60 Anglikan Diosis yang akan
diadakan pada 31 Ogos 2022.

Sementara itu, Datuk Melter Jiki Tais berkata pihak gereja menyokong kerajaan hari ini
dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam membangun negeri dan membantu
rakyat.-pr/BNN