KOTA KINABALU : Kesemua pusingan U secara sementara telah dibina bagi lokasi pembinaan jalan Pan Borneo di kawasan Sepanggar.
Menurut Timbalan Ketua Menteri  Datuk Seri Bung Moktar Radin(gambar ) , tuduhan mengatakan kerajaan tidak menyediakan kemudahan tersebut adalah salah sama sekali dan boleh mengelirukan rakyat, selain menyukarkan kerja-kerja pembikinan lokasi dimaksudkan.
Menurut Menteri Kerja Raya itu beliau  menerima aduan yang dibuat daripada pihak pembangkang di mana mereka mengatakan laluan pembinaan Pan Borneo di Sepanggar hingga ke Bulatan Berunggis, Sepanggar tidak disediakan pusingan U.
“Sebenarnya, terdapat pusingan U secara sementara telah dibina di lokasi yang dimaksudkan dan tuduhan laluan sepanjang 12 kilometer tanpa pusingan U itu adalah salah dan tidak berasas.
“Mereka ini tidak faham dan cuba mengelirukan rakyat, ” katanya dalam satu kenyataan medianya, pada hari ini.
Sambil mengakui banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kontraktor pelaksana  projek ini, namun mereka tidak mengabaikan soal keselamatan dan keselesaan pengguna meski pun disaat puncak berhadapan dengan kesesakan.
” Saya berharap orang ramai bersabar semasa tempoh pembinaan ini dan sentiasa mematuhi papantanda amaran semasa memandu di kawasan pembinaan” tambah Bung
Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat Komuniti Cina Sepanggar semalam mendedahkan terdapat kesukaran pengguna lalu lintas untuk menggunakan laluan alternatif di lokasi sepanjang seksyen Sepanggar ke Bulatan Berunggis, ekoran tidak mempunyai pusingan U.
Jelas kenyataan itu lagi, ketiadaan kemudahan terbabit sekaligus menyebabkan gangguan trafik yang teruk terutamanya pada waktu puncak dan meminta kerajaan berbuat sesuatu untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.-pr/BNN