KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu momentum kejayaan kementerian itu melalui Pelan Strategik 2022 diteruskan pada tahun hadapan.
Beliau berkata, ini penting untuk membantu usahawan dan koperasi mencapai kejayaan seterusnya meningkatkan sosioekonomi rakyat negara ini.
“Saya menghargai komitmen semua pegawai dan kakitangan di Kementerian dan Agensi dalam memastikan semua inisiatif dan bantuan kepada usahawan dan koperasi dapat disampaikan dengan berkesan.
“Namun, kejayaan yang dicapai di bawah Pelan Strategik 2022 memberikan cabaran yang lebih kepada kita pada tahun hadapan untuk memastikan ekonomi yang telah dibuka semula sepenuhnya ini dapat melonjakkan prestasi perniagaan usahawan dan koperasi ke tahap yang lebih baik daripada tahun sebelum berlakunya pandemik COVID-19.
“Sebagaimana tema Pelan Strategik kementerian 2023 “Berdaya Maju, Transformatif dan Responsif’, saya berharap agar momentum kejayaan ini dapat kita kekalkan untuk terus membantu usahawan dan Koperasi mencergaskan lagi aktiviti perniagaan mereka dan menghasilkan kesan limpahan kepada pembangunan sosioekonomi rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Retreat Perancangan Strategik KUSKOP tahun 2023, di Impiana KLCC Hotel, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswathy Kandasami, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Datuk Haji Zamri Salleh dan ketua-ketua agensi kementerian itu.
Ewon berkata, kementerian menetapkan enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang harus dicapai pada 2023.
“Kita mensasarkan setiap individu yang dilatih akan menjadi usahawan dan menyumbang kepada pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan ekonomi Malaysia.
“Saya yakin dengan pelaksanaan perancangan inisiatif dan intervensi oleh Kementerian dan Agensi, KPI itu dapat dicapai seterusnya membantu usahawan dan koperasi terus berkembang maju sehingga peringkat nasional dan antarabangsa.
“Teruskan usaha untuk membantu mereka menjana pendapatan serta memulih dan meningkatkan lagi ekonomi, khususnya kepada golongan rentan dan B40 yang sangat terkesan dengan pandemik COVID-19 atau apa saja perubahan yang berlaku dalam landskap ekonomi global,” katanya.
Ewon berkata, antara fokus pelaksanaan dan keutamaan kumpulan sasar dalam inisiatif pembangunan keusahawanan di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023, adalah peningkatan adaptasi teknologi dalam kalangan usahawan dan koperasi.
“Sehubungan itu, Kementerian dan Agensi haruslah memastikan perkara ini diutamakan dalam pelaksanaan program dan intervensi yang direncanakan pada tahun 2023 termasuklah memperkasa penyampaian perkhidmatan melalui perluasan penggunaan teknologi dan pendigitalan,” katanya.
Beliau juga mahu agar perusahaan sosial menjadi wadah memudahcara pembangunan komuniti dan wilayah yang efektif.
“Ini penting agar impak yang dihasilkan daripada pelaksanaan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 atau SEMy2030 akan menyumbang kepada pembangunan sosio ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan,” katanya.
Mengenai retreat itu, Ewon berkata, ia penting kerana hasil daripada sesi ini akan menentukan langkah pertama kementerian mengharungi tahun baharu 2023.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan Kementerian dan Agensi kerana bersama-sama melaksanakan inisiatif dan intervensi yang telah dirancang bagi membantu pembangunan usahawan dan koperasi.
“Diharap pelaksanaannya dapat menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul seperti yang dihasratkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030,” katanya.-pr/BNN