PENAMPANG: Kelewatan pelaksanaan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kipouvo, Penampang dan bekalan air di sekolah itu mesti ditangani sebelum sekolah itu siap sepenuhnya tahun 2024, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, pelaksanaan pembinaan sekolah itu mengalami sedikit kelewatan disebabkan pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Saya telah meminta supaya bekalan air di sekolah ini diselesaikan sebelum sekolah ini siap sepenuhnya. Apabila sekolah sudah siap pelajar masuk tanpa gangguan bekalan air atau letrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Tamu Donggongon dan SMK Kipouvo, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Ruji Ubi, Setiausaha Persekutuan Sabah Dato’ Makhzan Mahyuddin, Adun Kapayan Jannie Lasimbang, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta pemimpin-pemimpin setempat.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pembinaan SMK Kipouvo dijangka siap pada tahun 2024.
“Saya berharap ia siap menjelang hujung tahun depan supaya para pelajar boleh masuk ke sekolah ini pada tahun persekolahan 2025,” katanya.
Ewon berkata, bagi memantau dan memastikan projek pembinaan itu siap mengikut jadual yang ditetapkan, beliau telah mewujudkan satu Jawatankuasa Pemantauan Untuk Projek-Projek Berskala Besar di Penampang.
“Antara peranan jawatankuasa ini ialah memantau pelaksanaan pembinaan SMK Kipouvo. Setiap tiga bulan kita akan bersidang untuk memantau perkembangan pelaksanaan projek ini,” katanya.-pr/BNN