Solidariti adalah `kata kunci’ kemenangan Umno, BN: Mohd Bahrin

0
Mohd.Bahrin (kanan) bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Yamani Hafez Musa (kiri) semasa menghadiri Persidangan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia.
Mohd.Bahrin (kanan) bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah, Yamani Hafez Musa (kiri) semasa menghadiri Persidangan Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia.

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu, Mohd. Bahrin Abd. Karim berkata solidariti perlu dijadikan sebagai `kata kunci’ (password) bagi memastikan kemenangan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata kata kunci itulah merupakan intipati pesanan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika menyampaikan Amanat Presiden, dan turut ditekankan oleh Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan serentak persidangan Pergerakan Wanita, Pemudan Puteri Umno.

“Saya melihat aspek solidariti ini diberi penekanan utama oleh pemimpin Nombor Satu dan Nombor Dua parti, selainmemupuk dan menanamkan mentaliti kemenangan dalam minda setiap ahli parti.

“Jika semua ahli parti memahami dan menyelami kata kunci itu, saya yakin Umno dan BN mampu mencipta kemenangan manis dalam PRU-14 nanti,” katanya ditemui sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 di PWTC pada Rabu.

Beliau diminta mengulas intipati ucapan Dr Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, ketika merasmikan serentak persidangan tiga sayap parti pada Selasa malam.

Mohd Bahrin berkata Pemuda Umno Kota Kinabalu berikrar menggalas amanah yang diperingatkan piminan parti, dan sedia menjadi jambatan di peringkat akar umbi bagi menambat hati rakyat.

Untuk itu, katanya, usaha akan diteruskan bagi membantu menangkis maklumat palsu dan fitnah pembangkang, khususnya di kawasan bandar seperti Kota Kinabalu yang akses kepada media sosial begitu meluas.

“Saya harap gandingan semua sayap dalam parti dalam mengekalkan momentum keutuhan akan dapat merealisasikan sasaran kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam PRU-14 nanti,” katanya.

Beliau sependapat dan menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang turut berikrar untuk melaksanakan mandat khas yang diamanahkan oleh pucuk pimpinan parti dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

Menurut Khairy, pergerakan itu diberi tanggungjawab bagi memastikan sokongan besar pengundi lelaki Melayu bawah 40-an yang dianggarkan sekitar 1.9 juta orang, menyakini Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

“Sebagai pimpinan di peringkat akar-umbi yang lebih memahami denyut nadi rakyat, kita akan pastikan amanah ini digalas dengan sebaik mungkin,” kata Mohd Bahrin.-pr/BNN