KUALA LUMPUR: Bajet bagi 2023 adalah merupakan bajet terbesar dalam sejarah dengan memperuntukkan RM388.1 bilion, bajet pembangunan sebanyak RM99 bilion, dan tumpuan kebajikan terutama sekali kumpulan B40 juga tidak terabai.
“Walaubagaimanapun, dari segi pandangan Sabah dan Sarawak ada kekecewaan sedikit disebabkan agihan peruntukan pembangunan itu masih lagi mengikut acuan yang lama. Masih lagi tidak adil kepada Sabah dan Sarawak! Kerana daripada RM99 bilion bajet untuk pembangunan ini, 87 peratus masih lagi untuk Semenanjung, dan hanya 6.5 peratus kepada Sabah, 5.6 peratus kepada Sarawak. ”
Ahli Parlimen P.180 Keningau Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam ucapannya di Dewan Parlimen hari ini.
Katanya, “Ini sangat mengecewakan dari segi pembangunan kerana yang memerlukan pembangunan ini adalah Sabah dan Sarawak. Kerana apa? Kerana Sabah dan Sarawak masih mundur, masih ketinggalan, masih mempunyai potensi yang banyak untuk dimajukan dan dibangunkan.”
Jelasnya, “Selain itu Sabah dan Sarawak masih lagi menunggu pelaksanaan hak-hak kewangan terutama sekali dalam artikel 112C, 112D dalam jadual sepuluh dan sebagainya, untuk menampung keperluan pembangunan negeri Sabah dan Sarawak.”
Kitingan berkata sepatutnya agihan bajet pembangunan boleh diubah mengikut acuan yang baru, yang lebih adil iaitu 50 peratus kepada Semenanjung, 25 peratus kepada Sabah dan 25 peratus kepada Sarawak. Dengan demikian Sabah dan Sarawak berupaya mengejar pembangunan di Malaya yang sudah 20 hingga 30 tahun ke hadapan.
Katanya Labuan tidak disebut dalam bajet pembangunan, “Tidak hairanlah ada isu-isu Labuan ini disebutkan supaya dikembalikan kepada Negeri Sabah.”
“Daripada hasil bajet 2023 ini yang berat sebelah, sudah tentunya Sabah akan lebih terpinggir kerana Sabah sekarang adalah negeri yang termiskin dalam Malaysia.”
“Lapan (8) daripada sepuluh (10) daerah yang termiskin adalah di Sabah, dan GDP per kapita Sabah adalah hanya separuh daripada GDP per kapita purata nasional.”
“Ini membimbangkan kita dan seharusnya tumpuan pembangunan ini sepatutnya di pulau Borneo.”
Menurut Kitingan, untuk Sabah membangun dan mencapai GDP per kapita setaraf dengan “national average”, Sabah masih memerlukan peruntukan pembangunan atau pendapatan sebanyak RM69 bilion.
“Hakikatnya setiap tahun Sabah tidak menerima penuh dana peruntukan yang diagihkan ataupun dinyatakan disebabkan sistem birokrasi yang menyekat iaitu sistem berokrasi tersebut mengakibatkan hanya sebahagian sahaja dana yang diperuntukkan dapat dibelanjakan. Bakinya dibawa ke tahun hadapan secara ‘rollover’.”
“Maka setiap tahun RM4-5 bilion yang diperuntukan untuk pembangunan Sabah, akan tetapi akibat ‘rollover’ ini, RM4-5 bilion peruntukan tersebut hanya dibelanjakan dalam empat atau lima tahun.
“Sekiranya setiap tahun RM4-5 bilion peruntukan ini dibelanjakan setiap tahun maka jumlah nikmat pembangunan di Sabah boleh mencecah RM20-25 bilion.
“Adalah dikhabarkan juga bahawa RM6.5 bilion yang diperuntukan dalam bajet 2023, sebanyak lebihkurang RM5 bilion adalah jumlah yang dibawa ke hadapan daripada peruntukan 2022 yang tidak dapat dibelanjakan kerana sistem dan sekatan birokrasi.
Jelasnya sekiranya perkara ini benar maka Sabah sebenarnya hanya mendapat peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk 2023, dan bukan RM6.5 bilion. Oleh itu Kitingan mohon penjelasan samada perkara ini benar atau tidak.
Sehubungan dengan itu Kerajaan Sabah mencadangkan agar peruntukan pembangunan bagi tahun 2023 dan seterusnya, dimasukan terus ke akaun Amanah Pembangunan Sabah, dan akaun Amanah Pembangunan Sarawak, untuk dibelanjakan mengikut acuan Sabah dan Sarawak yang akan dikawal selia oleh jawatankuasa bersama daripada Kementerian Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Jelasnya peruntukan pembangunan yang lebih adil adalah berdasarkan kepada 50 peratus Semenanjung nisbah 50 peratus Borneo. Ia disebabkan Persekutuan Malaysia terdiri daripada 3 entiti iaitu rakan kongsi sama taraf yang mana Borneo pada hakikatnya masih mundur.
Katanya, “Jalan raya di Malaya sudah berlabis-lapis, berlorong-lorong dan bertingkat-tingkat tetapi di Sabah dan Sarawak masih banyak tempat yang tidak ada jalan raya. Yang ada jalan raya pun masih berhabuk, berlumpur, berlubang-lubang dan ada yang berombak-ombak seperti di bulan.”
Sabah dan Sarawak memerlukan pembangunan seperti mana yang dijanjikan kepada bapa-bapa kemerdekaan. Potensi pembangunan di Sabah dan Sarawak masih banyak dan perlukan perbelanjaan antaranya ialah pertanian, pelancongan, perindustrian, sumber asli dan nature capital.
Kitingan berkata, “Sabah dan Sarawak haruslah dilayan sebagai rakan kongsi. Janganlah ikut acuan yang lama. Hak Sabah dan Sarawak dalam MA63 harus ditunaikan.”
“Sebagai contoh hasil bersih 40 peratus dalam artikel 112C dan 112D masih lagi belum dilaksanakan. Hanya baru-baru ini Kerajaan Pusat, Perdana Menteri telah mencadangkan pembayaran RM260 juta kepada Sabah dan RM300 juta kepada Sarawak.
“Kenapa bukan 40% seperti yang termaktub di dalam perlembagaan?”
Tegasnya, “Jangan gunakan alasan Kerajaan Pusat tidak ada duit kerana duit itu adalah duit daripada Sabah dan bukan daripada negeri-negeri lain ataupun Persekutuan. Persekutuan menerima 60 peratus dan selebihnya harus dipulangkan kepada Sabah!”
“Saya minta supaya ini dibuat kerana ramai yang bertanya samada MA63 itu masih sah atau tidak, kerana perjanjian ini belum dilaksanakan. Kalau mengikut kebiasaannya, kalau perjanjian itu tidak dilaksanakan dalam sepuluh tahun, ia akan bubar sendiri. Ini sudah separuh abad!”
Walaupun demikian Kitingan mencadangkan supaya Kerajaan Perpaduan meneliti dasar-dasar agihan pembangunan supaya mengambil kira size Sabah dan Sarawak yang lebih besar daripada Semenanjung. Size daerah-daerah di negeri Sabah lebih besar daripada negeri-negeri di Semenanjung.
“Kita di Sabah mempunyai 27 daerah tidak termasuk daerah-daerah kecil. Sebagai contoh daerah Keningau adalah kawasan yang besar, yang seharusnya dilayan seperti tiga negeri di Semenanjung.
Tiga negeri di Semenanjung iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Perlis boleh masuk di daerah Keningau. Tetapi layananya masih lagi seperti pandangan yang lama.”
“Saya minta supaya asas-asas ini diambil kira supaya bajet di masa akan datang tidak lagi akan mengulang-ulang kekecewaan Sabah dan Sarawak, sejauh mana layanan oleh Kuala Lumpur terahadap Sabah dan Sarawak seperti yang dulu.
Katanya, “Sabah dan Sarawak mempunyai potensi yang begitu banyak, apatah lagi dengan pembinaan ibunegara Indonesia di Kalimantan, ia akan mengaktivatkan potensi-potensi ekonomi di rantau ini.”
“Maka saya minta supaya fokus pembangunan ini beralih daripada Semenanjung kepada Sabah dan Sarawak. Apabila Sabah dan Sarawak dimajukan dan dibangunkan, ia akan menyumbang kepada pembesaran ekonomi Malaysia.”
Sehubungan dengan itu Kitingan juga menyeru Kerajaan Pusat untuk memberi lebih banyak autonomi kepada Sabah supaya Sabah dan Sarawak boleh memajukan ekonomi mereka mengikut acuan mereka masing-masaing.
Beliau turut memohon Kerajaan Pusat mengambil kira kemunduran Sabah dan Sarawak, kemiskinan terutama sekali di Sabah, dan mengiktirafkan Jabatan Teknikal seperti JKR dan JPS sebagai Jabatan Teknikal yang diiktiraf oleh perbendaharaan.
Kitingan mohon diambil kira pembinaan laluan keretapi menghubung pelabuhan utama Sepangar Kota Kinabalu dengan Pendalaman, dengan pembinaan pelabuhan darat di Keningau (Keningau Inland Port), dan penyambungan laluan keretapi dari Beaufort, Sabah ke Negara Brunei dengan perkembangan satu hari nanti ke Nusantara.
Kitingan akhiri dengan berkata, “Syabas dan tahniah kepada kerajaan yang baru. Oleh kerana kita mempunyai kerajaan yang baru, kita mempunyai Perdana Menteri yang baru, saya harap sikap yang baru, dasar yang baru, layanan yang baru juga akan dapat digunakan sebagai asas untuk melayani Sabah dan Sarawak sebab selama ini bertukar-tukar menteri, bertukar-tukar kerajaan tetapi layanan terhadap Sabah dan Sarawak masih sama.
“We need to change, so be the first to change!”
“Saya mempunyai harapan Kerajaan Perpaduan ini akan mengambil kira pandangan-pandangan daripada kami terutama sekali pandangan yang saya telah luahkan sebentar tadi supaya kerajaan ini akan dipandang oleh rakyat sebagai kerajaan yang mepunyai perbezaan dengan kerajaan-kerajaan yang telah lalu.”-pr/BNN