KOTA KINABALU: Pada tahun ini setakat bulan MEI, telah direkodkan sebanyak tiga kali berulang wabak di Taman Ridgeview Ph 12.
Wabak demam denggi yang pertama kali berlaku pada 9 Februari 2023 hingga 2
April 2023. Wabak ini berlangsung selama 52 hari dan berstatus Hotspot (wabak
demam denggi lebih 30 hari) yang melibatkan 21 kes demam denggi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Pathman Arumugam Pegawai Epidemiologi
Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, wabak demam denggi yang terkini, bermula pada 20 April 2023 dan masih belum tamat lagi, dengan merekodkan 11 kes demam denggi.
Sepanjang aktiviti kawalan yang dilaksanakan, pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu yang juga turut sama menyertai operasi bersepadu yang telah dijalankan sebanyak dua kali berikutan pelbagai isu dikenalpasti yang memerlukan bantuan dan tindakan pelbagai agensi.
Namun demikian, penduduk juga dinasihatkan memainkan peranan dengan memastikan menjalankan aktiviti yang memfokuskan kepada aktiviti anti denggi seperti berikut.
Penduduk melaksanakan pemusnahan tempat-tempat pembiakan jentik-jentik Aedes (bekas-bekas yang menakung air) di rumah masing masing dengan mengambil masa 10 minit setiap hujung minggu sama ada hari Sabtu atau Ahad.
Penduduk melakukan semburan aerosol di rumah sendiri setiap subuh dan senja
Penduduk menjalankan gotong-royong berkala sekurang- kurangnya sebulan sekali walaupun tiada kes denggi dilaporkan.
Mengurus pelupusan/pemindahan kereta-kereta terbiar yang dibiarkan berparkir di ruangan parker dan membuang sampah/barang lusuh di tempat yang ditetapkan.
Setakat ini, sebanyak 6 kompaun telah dikeluarkan apabila didapati pemilik rumah mempunyai bekas jentik-jentik Aedes seperti baldi, tayar dan pasu bunga.
Di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, jika didapati premis yang dijumpai dengan pembiakan Aedes, kompaun maksima RM500 boleh dikenakan kepada tuan punya premis tersebut. Pemilik boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500, dengan tindakan mahkamah akan dikenakan, denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun atau kedua- duanya sekali, sekiranya berulang.
Jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan pada tahun ini adalah 640 kes. Jumlah ini meningkat sebanyak 206% berbanding kumulatif sehingga Minggu Epid 19 tahun 2022 (209 kes). Sebanyak satu wabak telah dilaporkan pada Minggu Epid 19/2023. Jumlah kumulatif wabak denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epid 13/2023 adalah 69 wabak.
Tiada kematian denggi dilaporkan pada tahun ini sehingga Minggu Epid 19/2023 di daerah Kota Kinabalu.-pr/BNN