KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah dilantik sebagai Urus Setia untuk
menganjurkan pertandingan video pendek bertemakan  “Integriti di Hati” bersempena dengan Minggu Integriti di bawah Jabatan Ketua Menteri bagi tahun 2023.

Penyertaan ini adalah terbuka kepada semua jabatan dan agensi di bawah Jabatan Ketua
Menteri termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan sahaja. Semua penyertaan hendaklah dikemukakan kepada pihak Kumpulan Yayasan Sabah selewat-lewatnya pada 21 Ogos 2023 pada pukul 4:00 petang.

Menurut Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar,
pertandingan ini menggalakkan semua agensi terlibat untuk menyerlahkan kreativiti dalam
menyampaikan kesedaran dan pemahaman mengenai integriti melalui video pendek.

“Mesej video hendaklah jelas, mudah difahami, positif dan tidak menyentuh sensitiviti politik, agama dan bangsa,” jelas beliau.

“Selain itu, tujuan penganjuran pertandingan video pendek ini adalah untuk menyampaikan
mesej bagi memantapkan dan membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam di
samping memperkukuh kerjasama antara sektor awam dengan masyarakat dalam program- program pengukuhan integriti,” jelas beliau lagi.

Pemenang  akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM5,000 untuk johan,
RM3,500 untuk naib johan dan RM2,000 untuk pemenang tempat ketiga berserta e-sijil
penghargaan.

Dalam pada itu, Datuk Sri Haji Gulamhaidar juga menyatakan, pihak penganjur dibenarkan
untuk menggunakan semula atau menayangkan semula video yang dipertandingkan dalam
laman web, pameran dan mana-mana saluran media.

“Semua agensi digalakkan untuk turut serta dalam pertandingan ini bagi memperluaskan lagi usaha penyebaran mesej kesedaran integriti dalam mewujudkan persekitaran yang menghargai kebenaran, kejujuran, keadilan dan nilai-nilai berkaitan integriti dalam sesebuah agensi,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai pertandingan ini, jabatan dan agensi di bawah Jabatan Ketua Menteri boleh melayari laman web Kumpulan Yayasan Sabah di
http://www.yayasansabahgroup.org.my, melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah  dan boleh menghubungi Unit Pengukuhan dan Pemantauan, Bahagian Sumber Manusia dan
Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB) di talian 088-326654/013-525 6576 (Puan Effah Efizah) atau 088-326384/012-802 7715 (Puan Siti Ruhaini).-pr/BNN