KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan Sabah selagi rakyat bersatu.
“Sebagai Ketua Menteri, saya komited untuk melihat Sabah yang kita cintai kekal bersatu, makmur, dan inklusif. Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu.
“Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan kita sebagai rakyat Sabah. Dengan
bersatu, kita akan dapat melawan sebarang percubaan untuk menjejaskan kestabilan
dan untuk memastikan pembangunan dapat diteruskan tanpa halangan,” katanya dalam
perutusan Tahun Baharu 2024.
“Saya berasa terharu dan bersyukur kepada orang ramai dan semua penyokong yang
sehaluan yang telah menyokong kami, percaya dengan keikhlasan kami untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah.
“Mari kita mengetepikan politik dan buang sebarang perpecahan yang hanya akan
memecahbelahkan. Kita mesti melangkah ke tahun baharu dengan azam, bersatu
dalam kepelbagaian, dan komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang
diberikan oleh rakyat,” katanya.
Dengan sokongan daripada rakyat, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah
mengorak langkah yang baik dalam memajukan pelan pembangunannya iaitu Hala Tuju
Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Di ambang Tahun Baharu ini, sudah tiba masanya untuk merenung kembali tahun lalu
dan menanti kedatangan tahun baru dengan harapan dan keyakinan. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran (pada 2023), kita tetap teguh dalam melaksanakan
agenda SMJ dan terus berada di landasan. Komitmen kita terhadap pertumbuhan akan
terus kekal dan tidak berbelah bahagi,” katanya.
Hajiji berkata dalam Belanjawan Sabah 2024 yang telah diluluskan baru-baru ini,
berjumlah RM5.701 bilion, adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memacu
pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.
“Kita telah menyasarkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negeri dalam
semua sektor. Kita akan terus membina kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan spin-off ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata semua kejayaan dan rancangan ini tidak akan bermakna
tanpa gabungan usaha dan komitmen semua serta persekitaran yang kondusif untuk
mencapai matlamat pembangunan itu.
Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam Kabinet, penjawat awam dan rakyat Sabah atas sokongan berterusan mereka dan mengucapkan selamat
tahun baru kepada semua.-pr/BNN