KOTA KINABALU: Warga University College Sabah Foundation (UCSF) telah mengadakan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) dengan meriah di lobi kampusnya di Sembulan, baru-baru ini.
Majlis sambutan itu dimeriahkan dengan acara menggaul “Yee Sang” dikalangan pegawai utama UCSF, selain persembahan tarian singa dan naga, cabutan tiket bertuah, pertandingan pakaian terbaik, serta jamuan makan tengahari.
Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berkata, universiti itu sentiasa meraikan dan menekankan nilai saling hormat- menghormati terhadap perbezaan yang wujud di negara ini dengan meraikan pelbagai perayaan yang ada.
‘Kita baru sahaja menyambut tahun baru 2024 pada bulan lalu dan perayaan Tahun Baru Cina akan tiba disambut tidak lama lagi, inilah keunikan dan keistimewaan masyarakat berbilang kaum di Sabah yang bersama-sama menyambut dan meraikan perayaan pelbagai suku kaum.
“Persefahaman, perpaduan, budaya dan tradisi yang kita warisi daripada nenek moyang kita perlulah terus dipertahankan dan diwarisi oleh generasi akan datang demi kehidupan kita yang aman, damai dan harmoni”, katanya pada majlis sambutan itu.
Menurutnya, pihaknya akan terus berusaha dan memastikan UCSF terus maju, dinamik dan menawarkan menu pendidikan yang menarik di negeri Sabah, selain sebagai pelengkap kepada apa yang sedang ditawarkan oleh institusi-institusi lain.
“Saya berharap sempena tahun Naga ini, kita akan terus bangkit dan memberikan yang terbaik kepada universiti yang kita sayangi ini”, ujarnya ketika menyampaikan  ucapan perasmian. -pr/BNN