KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri amat komited dengan program-program yang berkaitan dengan pembangunan syiar Islam di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Justeru katanya, bagi tahun 2024 sebanyak RM131 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid, serta program-program
kerohanian di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk terus menyokong program- program berkaitan pembangunan dakwah, sekaligus meningkatkan syiar Islam negeri ini”. katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Perasmian Masjid Al-Falah, Kepayan di sini pada Sabtu.
“Program-program berkaitan pembangunan Islam ini dapat kita perkasakan lagi dengan sokongan dan dokongan padu agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan agensi-agensi agama Islam yang lain”, tegasnya.
Hajiji juga mahu JHEAINS sentiasa mengambil tindakan proaktif melihat dan memantau keperluan masjid dan surau di negeri ini, termasuk kebajikan dan keperluan para imam
dan bilal, selaku tonggak penting kepada institusi masjid.
“Kita mahu pastikan kebajikan dan keperluan mereka sentiasa dijaga dan diambil
perhatian sewajarnya. Insya Allah, Kerajaan Negeri akan sentiasa membuat
pemantauan dan pertimbangan terbaik bagi memastikan institusi masjid di negeri ini
dapat bergerak dengan berkesan dan cemerlang”, tegasnya.
Menyentuh peranan masjid, Ketua Menteri menegaskan ia perlu diperkasakan seiring
dengan modenisasi yang berlaku agar ia benar-benar berfungsi membangunkan insan
dan masyarakat ke arah yang lebih progresif dan bertamadun tinggi.
Katanya, beberapa pendekatan harus diambil dan dijadikan keutamaan dalam usaha
menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan insan, terutamanya dalam
membangunkan masyarakat Islam pada masa kini.
Beliau berkata, antaranya masjid hendaklah dijadikan pusat keilmuan dan kegiatan
keIslaman dengan mengadakan pengajian ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.
“Selain itu, masjid juga hendaklah menganjurkan kelas-kelas ilmiah yang lain seperti pelajaran komputer, sains, matematik dan sebagainya. Bahkan, masjid juga perlu dijadikan sebagai pusat kegiatan hal ehwal wanita, remaja dan kanak-kanak, disamping menjadi pusat ekonomi dalam masyarakat setempat”.
“Pendek kata, masjid sebagai rumah ibadah, harus diperluaskan fungsi dan peranannya, agar institusi masjid dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kemajuan dan pembangunan ummah”, katanya.
Hajiji berkata, pembangunan institusi masjid sangat penting dalam membangunkan masyarakat dan umat Islam, terutamanya dalam era kontemporari yang kian mencabar.
Katanya, hubungan antara masyarakat Islam dan masjid tidak dapat dipisahkan kerana
masjid adalah tunggak dan nadi pusat kegiatan umat sejak di zaman Rasulullah SAW.
Begitu juga dengan institusi masjid yang memerlukan masyarakat Islam untuk
mengimarahkannya.
Menyentuh Masjid Al-Falah Kepayan yang mula dibina pada 2013, katanya ia sebagai
tambahan kepada masjid-masjid sedia ada, seperti Masjid At-Taqwa, RTM, Masjid Nur
Islam, Ibu Pejabat Polis Kepayan, Surau Assolihin, Taman Austral Park, dan Surau
Istiqomah, Taman Olivia.
Menurutnya, pembinaan semua masjid itu bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin bertambah ramai kerana kawasan Kepayan dan Penampang adalah kawasan yang paling pesat membangun kerana kedudukannya di dalam dan di pinggir Bandaraya Kota Kinabalu.
Hajiji berkata, kredit harus diberikan kepada mantan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kerana atas perkenan beliaulah terbinanya masjid itu sebagai hadiah kepada komuniti muslim di Kepayan dan kawasan sekitarnya.-pr/BNN