KOTA KINABALU: Presiden USNO Tan Sri DSP Pandikar Amin Hj Mulia berkata rasa terkesan apabila pemimpin-pemimpin UMNO dan Warisan mengkritik Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor dan Kerajaan GRS berhubung dengan tatakelola pentadbiran kerajaan GRS yang kononnya telah gagal mengatasi permasalahan kemudahan asas di negeri ini.
Dalam satu kenyataan beliau berlata ini adalah kerana permasalahan yang dibangkitkan itu, bukan hal baru yang dicetuskan oleh Hajiji dan GRS.
“Permasalahan Air, Jalanraya dan Eletrik adalah legasi kegagalan UMNO-BN yang memerintah negeri Sabah selama tiga dekad,” katanya.
Menurut beliau, dalam keadaan politik negara yang amat meruncingkan dan keadaan ekonomi yang membimbangkan, sewajarnya para pemimpin negeri Sabah, tidak mengira anutan parti, berkerjasama untuk mengatasi atau menyelesaikan masalah rakyat yang ada kaitan dengan kemudahan asas, iaitu lampu, air dan jalan raya.
“Ini kerana, masalah ketiga-tiga kemudahan asas ini telah menjadi punca segala kerumitan rakyat negeri Sabah berabad-abad lama ya yakni sejak Sabah merdeka melalui penubuhan Malaysia.”
Dalam soal ini, pemimpin-pemimpin negeri Sabah yang ada kaitan dengan kuasa, tidak kira anutan parti hendaklah MENGHENTIKAN politik macam dalam cerita “BANGAU O BANGAU” iaitu cerita purba yang asyik menyalahkan orang lain, tegas nya.
“Tetapi, sebaliknya hendaklah saling bantu membantu demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah. Sebagai contoh, Pemimpin UMNO dan Warisan tidak seharusnya menyalahkan Hajiji dan kerajaan GRS dalam soal kemudahan asas seperti Jalanraya, Air dan Elektrik secara melulu.”
Dalam soal ini, Pemimpin-Pemimpin UMNO dan Warisan, pada saat mengkritik Hajiji dan GRS, harus juga ingat bahawa mereka juga bersalah dan telah gagal untuk menunaikan tanggungjawab memantapkan infrastruktur asas sewaktu mereka berada dalam kegemilangan yakni sewaktu UMNO-BN memerintah negeri Sabah dahulu.
Dalam keadaan di mana politik negara yang tidak menentu ini, adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin negeri Sabah tidak kira anutan parti untuk membantu Hajiji dan GRS mengatasi semua permasalahan yang sedang dihadapi oleh rakyat negeri Sabah, kata nya lagi.
“Mengkritik Hajiji dan GRS ibarat sama dengan perbuatan ‘meludah ke langit kena muka sendiri’. Rakyat sedia maklum bahawa kerajaan pusat sekarang ini adalah Kerajaan Perpaduan di mana semua parti politik di Sabah menjadi pendokongnya.”
UMNO-BN (Sabah) pimpinan DSP Bung Moktar, Parti Warisan pimpinan DS Mohd Shafie Apdal, UPKO pimpinan Datuk Ewon Benedick dan KDM pimpinan Datuk Peter Anthony berada dalam Kerajaan Persekutuan sekarang ini.
Atas sebab itu, demi untuk kesejahteraan rakyat negeri Sabah, sepatutnya Bung, Shafie dan Ewon berusaha membantu Hajiji dan GRS untuk memberikan tekanan kepada Kerajaan Pusat agar memberikan banyak peruntukan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya dapat menyelesaikan masalah kemudahan asas ini, kata Pandikar.
“Dalam pada itu juga, Menteri PKR dan Menteri DAP dalam Kerajaan Negeri Sabah sekarang ini, hendaklah juga membantu Hajiji.  Bukan berdiam diri sahaja apabila Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah diserang oleh parti-parti pembangkang dalam negeri.”
“Menteri DAP dalam Jemaah Menteri Kabinet GRS-PH hendaklah memberi tekanan kepada Setiausaha Agung DAP untuk membisik di telinga PMX supaya peruntukan dari kerajaan pusat dilipatgandakan untuk negeri ini.”
“Begitu juga Menteri PKR dalam kerajaan GRS-PH hendaklah merayu dan memberikan tekanan kepada Presiden PKR, yang secara kebetulan juga adalah PMX melalui saluran parti.”
Bung pula, walaupun beliau tidak lagi berada dalam kabinet negeri Sabah, sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah, beliau boleh merayu dan memberikan tekanan kepada Presiden UMNO yang pada ketika ini adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Bandar.
Masanya telah tiba untuk pemimpin-pemimpin parti-parti politik di Sabah untuk meninggalkan budaya Politik ‘Bangau O Bangau’ sekiranya semua ikhlas dalam perjuangan mereka demi untuk kesejahteraan rakyat Negeri Sabah, katanya.-pr/BNN