KOTA KINABALU-: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin merujuk kepada kejadian
letusan gunung berapi melibatkan Gunung Ruang di Pulau Sulawesi, Indonesia yang dilaporkan melalui akhbar dan media sosial pada 16 April 2024.

Sehingga kini, Gunung Ruang telah meletus sebanyak enam (6) kali dengan asap letusan berwarna kelabu hingga hitam dengan ketinggian sekitar 3,000 meter (9,843 kaki) diperhatikan di atas puncak, disertai dengan bunyi deruan dan gempa bumi.

Menurut Datuk Dr. Asits Sanna, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah beberapa lokasi di kepulauan berdekatan telah mengalami hujan abu gunung berapi.

Letusan gunung berapi boleh membebaskan zarah berbahaya seperti abu serta gas karbon dioksida (CO2) dan sulfur dioksida (SO2). Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, letusan yang dicerap adalah sehingga 16,764 meter (55,000 kaki) di udara.

“Walau bagaimanapun, pemantauan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak menunjukkan bahawa kualiti udara di permukaan bumi terjejas,”katanya.

JKNS telah menjalankan penilaian risiko dan mendapati buat masa ini, tiada keperluan memakai pelitup muka di kawasan terbuka.

Namun demikian, orang awam dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan
di klinik kesihatan dan hospital yang terdekat sekiranya mengalami tanda dan gejala pernafasan.

“Jabatan ini juga memantau penyakit berkaitan jerebu seperti jangkitan saluran pernafasan atas, asma, dan juga penyakit konjunktivitis di beberapa klinik kesihatan dan hospital sentinel di Negeri Sabah,”katanya.

Justeru, JKNS menasihati orang ramai untuk mengikuti laporan status kualiti udara yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar https://apims.doe.gov.my/home.html dan mengambil tindakan kesihatan berpandukan IPU di kawasan masing-masing.

JKNS sentiasa memantau persekitaran akibat kejadian letusan gunung berapi ini serta kejadian penyakit akibat pencemaran udara. Sebarang perubahan status pencemaran udara akan dimaklumkan dari masa ke semasa.-pr/BNN