KOTA KINABALU: University College Sabah Foundation (UCSF) menerima kunjungan daripada Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Negeri (IPTN) di sini pada Selasa.
Kunjungan itu diketuai oleh Pengerusi persatuan, Prof Dato’ Dr Wan Sabri yang juga Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah.
Rombongan Persatuan IPTN turut disertai oleh Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Prof Dr Haji Mohd Zawawi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UniSHAMS Kedah (menjalankan tugas Naib Canselor), Prof Madya Dr Muhammad Nasri serta Pemangku Ketua Eksekutif Kolej Al-Quran Terengganu, Prof Madya Dr Mahyuddin.
Persatuan IPTN merupakan sebuah persatuan yang dianggotai oleh institusi-institusi pendidikan tinggi milikan kerajaan negeri.
Kunjungan dan lawatan ini merupakan susulan daripada mesyuarat IPTN yang berlangsung di Kota Kinabalu semalam.
Dalam kunjungan itu, pelbagai perkara telah dibincangkan oleh kedua pihak, termasuklah potensi kerjasama di antara institusi pendidikan tinggi milikan kerajaan negeri dalam hal berkait kerjasama akdemik dan penyelidikan, persidangan bersama, pertukaran pelajar dan penerbitan.
Menurut Prof Dato’ Dr Wan Sabri, ahli-ahli IPTN harus saling berkerjasama membantu diantara ahli-ahli dan tidak bersaing sesama mereka, sebaliknya perlu berkongsi kekuatan masing-masing.
“Perkara ini boleh dimulakan dengan pertukaran pelajar (student mobility) dalam program pengajian yang mempunyai kadar persamaan yang tinggi.
“Program seumpama itu boleh membantu integrasi nasional terutamanya diantara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Banyak kebaikan yang boleh diraih menerusi program itu”, katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UCSF, Dr Rafiq Idris berharap kerjasama di antara kolej-kolej serta universiti-universiti milik kerajaan negeri dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang demi pembangunan sektor pendidikan di negara ini.
Delegasi Persatuan IPTN turut dibawa berkunjung ke Nature Inspiration Art Gallery (NIAG) UCSF.-pr/BNN