KOTA KINABALU: Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah pada 24 April 2024 lalu yang mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menghentikan amalan meletakkan pegawai Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai Pengurus Besar di PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), sebenarnya ia merupakan persiapan PPN Sabah melihat ke hadapan selaras dengan wawasan Kerajaan Perpaduan Madani, pimpinan YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia.
Beliau kini sedang menyusun langkah, usaha dan inisiatif ke arah lebih cemerlang dalam membantu rakyat, disamping berusaha mengurangkan perbelanjaan kerajaan, memperkenalkan subsidi bersasar, penjimatan duit rakyat (kerajaan), mementingkan membantu rakyat jelata dan banyak lagi bantuan yang mengutamakan rakyat, selain memotong perbelanjaan yang tidak sepatutnya termasuk yang maha kaya.
Sebenarnya tindakan dan keputusan yang dibuat oleh Ahli-ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah seramai 11 orang, juga adalah kami terlibat sebagai pemimpin dan penyokong Kerajaan Perpaduan yang sedar dan mengetahui perkara ini dan menyahut perancangan dan wawasan Kerajaan Perpaduan Madani yang kini diterajui oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Difahamkan Kementerian Kewangan sedang meneropong mana-mana agensi yang bertindih fungsinya dan badan-badan yang bukan dimiliki oleh kerajaan darisegi pegangan saham, dan akan dibuat penyusunan dari segi penyaluran peruntukan termasuklah LPP, dimana kerajaan sedia maklum ia adalah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Sementara Pertubuhan Peladang (PP) adalah dimiliki oleh pemilik saham iaitu 100 peratus dimiliki oleh orang perseorangan yang membeli saham di PP.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah dalam sidang akbarnya bersama Ahli Jemaah Pengarah Datuk Ng Loi Tect, Tan Sri Wences Angang, Datuk Faimin Kamin, Datuk Supardianshah Hj Suyuti, Datuk Dr George Sangkin, Hj Abdul Rahim Oting, Abu Bakar Gapar, Benny Franklin Harthemen, Sylvia Belinggi dan Lawrence P Saibon selepas Mesyuarat AJP PPN Sabah telah mengambil contoh, pandangan dan cadangan yang pernah diutarakan oleh mantan Ketua Pengarah LPP, Datuk Haji Salim Taha (2015 hingga 20 Mac 2018) untuk memperkenalkan fungsi pegawai-pegawai LPP kepada 2 bahagian.
Bahagian pertama ialah pegawai-pegawai tersebut berkhidmat di LPP, menerima kenaikan pangkat sehingga bersara wajib. Bahagian kedua ialah mereka kekal di Pertubuhan Peladang (PP) dan kenaikan pangkat juga di PP. Dengan erti kata lain pegawai LPP ini akan diserapkan di PP dan menerima gaji serta lain-lain kemudahan atas tanggungan PP, serta akan diserap dalam skim perkhidmatan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pandangan itu masa di utarakan mungkin tidak sesuai tetapi pada masa ini (zaman kerajaan perpaduan) pandangan itu berguna untuk di ambil perhatian sebagai persiapan untuk di laksana apa bila kerajaan mengumumkan nya kelak. Hebat bacaan ketua Pengarah LPP ini. (Datuk Haji Salim Taha) pandangan jauh nya terpakai pada zaman ini.
Mohd Nazri berkata, kebanyakan pegawai ini sudah mencebur diri dalam perniagaan dan pengalaman mereka memang diiktiraf serta berkebolehan dalam mengurus tadbir PP.
Katanya, pegawai-pegawai ini dilantik dalam skim PP dan perkhidmatan mereka berterusan sehingga mereka mengundurkan diri. Pegawai-pegawai ini juga tahu kekuatan sesuatu PP dari segi kewangan, untung rugi perniagaan, potensi berkembang dan lain-lain.
“Sudah pasti pegawai-pegawai ini akan bekerja kuat untuk membangunkan PP yang mereka urus, supaya lebih banyak keuntungan diperolehi kerana gajinya dan semua kakitangan lain dibayar sendiri oleh PP iaitu tempat mereka berkhidmat.
“Sebelum ini ada pegawai LPP yang dipinjamkan ke PP telah bekerja kuat sehingga menguntungkan PP, akan tetapi mereka kemudiannya ditukar ke tempat lain sehingga menyebabkan PP tersebut mulai merundum. Sebab itulah adalah lebih baik mereka yang telah ditempatkan di PP, dikekalkan dan terus berkhidmat di PP, namun mereka adalah pegawai lantikan PP dan semua urusan diurus oleh PP, bukan seperti perkhidmatan sekarang.
“Sebagai contoh di Sabah, boleh dikatakan hampir 100 % pegawai LPP yang ditempatkan di PPK sebagai Pengurus dan Pengurus Besar telah bekerja dengan baik dan memajukan PP masing-masing, namun gred gaji mereka masih mengikut gred sedia ada di LPP. Jika perkhidmatan mereka diserapkan ke PP, maka mereka boleh menerima dinaikkan pangkat bersama menaikkan gred dengan gaji yang lebih tinggi sesuai dengan kekuatan PP yang mereka urus”, katanya.
Beliau mengambil contoh, apabila sesebuah PP itu mencatat banyak keuntungan, maka banyaklah kemudahan yang boleh diberikan kepada pegawai tersebut kerana ianya adalah hasil kerja kuat mereka.
Katanya, perlu diingat bahawa Sabah merupakan negeri yang luas dan Pengurus-Pengurus Besar ini perlu mengambil masa yang banyak dalam perjalanan untuk sampai ke satu-satu tempat bagi menjalankan tugas yang diamanahkan. Akan tetapi mereka ini adalah pegawai kerajaan dan terikat dengan peraturan sedia ada. Sedangkan dalam dunia perniagaan, waktu bertugas tidak menentu dan panjang masa digunakan. Ada Pengurus Besar PPK yang bekerja sehingga jam 10.00 atau 11.00 malam.
Mohd Nazri berkata, Pengurus-pengurus Besar PPK sedia ada terutamanya di Sabah juga kaya dengan pengalaman, kerja kuat dan didikasi.
“Namun kita perlu menerima hakikat bahawa PP itu adalah dimiliki oleh pemegang saham (orang perseorangan dan ahli-ahli peladang) dan LPP itu adalah agensi dibawah KPKM. Lambat laun, sama ada kita suka atau tidak, Kerajaan Perpaduan Madani pimpinan Anwar akan melihat dan meneliti perkara ini, dan difahamkan banyak agensi telah diteropong oleh Kementerian Kewangan termasuklah LPP.
“Sebelum kerajaan mengumumkan sesuatu untuk menambah baik tatakelola dan penjimatan dalam jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan, elok sekali kita sama-sama usahakan yang terbaik untuk menjaga kebajikan keluarga komuniti peladang”, katanya.
Beliau berpendapat, adalah baik sekali kerajaan melalui Kementerian Kewangan terus menyalurkan geran kepada PP dan juga pinjaman mudah untuk menjayakan semua PP di Sabah dan di Malaysia, selain bantuan peruntukan sedia ada dari KPKM.
Mohd Nazri dan kesemua AJP PPN yang rata-ratanyamerupakan Pengerusi PPK mahu melihat semua PPK di Sabah berdaya saing, lebih maju lagi dan menguntungkan dibawah kendalian Pengurus-pengurus Besar sedia ada, kecuali skim perkhidmatan mereka diubah suai dari seorang Pegawai LPP yang dipinjamkan ke PP menjadi pegawai tetap di PP, agar mereka terbelah apabila kerajan membuat perubahan dan penyusunan semula berhubung perkara itu.
“Perlu diingat LPP selama ini membantu semua PP sejak penubuhannya (tahun 1973) dan ketika itu ialah tahun 1970’an, 1980’an, 1990’an dan tahun 2020 dengan cara kepimpinan dan dasar kerajaan yang memerintah pada era itu, memang sesuai dengan apa yang sudah tersedia masa itu. Kami berterima kasih kepada kerajaan dan kepimpinan Kementerian Pertanian serta LPP ketika itu.
“Akan tetapi dalam era kerajaan sekarang dan bersesuaian dengan dasar baru ini, sudah tentu banyak sekali perbezaan dan pendakatan yang akan diambil diantara dahulu dan sekarang. Sebelum sesuatu dasar baru atau cara baru ini diumumkan oleh pihak kerajaan, maka adalah lebih baik kita membuat persiapan dan persediaan awal, supaya semua pemimpin dan ahli-ahli peladang (pemegang saham PP), LPP selaku pendaftar yang juga penyelia kepada PP dan pegawai-pegawai LPP yang ditempatkan di PP dapat menerima sebarang perubahan dasar yang akan dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan Madani demi kepentingan komuniti peladang di negara ini”, tegasnya.
Beliau turut mengambil contoh, Kerajaan Perpaduan telah mencadangkan agar skim pencen kerajaan digantikan dengan skim KWSP, subsidi bersasar, memerangi rasuah, mengatasi ketirisan bagi menyelamatkan berbilioan ringgit duit rakyat (kerajaan). Semua duit yang diselamatkan itu akan dikembalikan kepada rakyat.
“Justeru tidak mustahil dengan kecekapan dan pengalaman yang luas Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, lebih-lebih lagi beliau berpengalaman sebagai Menteri Pertanian mempunyai kaedah tersendiri untuk terus menolong PP sehingga sesebuah PP itu terus berjaya dan dapat membela komuniti peladang”, tegasnya.-pr/BNN