KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta
kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi
melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada
pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji
Haji Noor.

Beliau berkata, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan daripada kerajaan yang
amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan
peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan
kerajaan (NGO) wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal
Wanita Sabah (JHEWA).

“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan
program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini. Kita
sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita
dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan
pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Hari Wanita
peringkat negeri Sabah di sini pada Jumaat malam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri
Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA
dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), pada tahun ini bagi
melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.

“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal
wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea
baharu, ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di
Sabah.

 

“Sementara itu, JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang dipertanggungjawabkan
menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan
wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” katanya.

Beliau berkata ramai dalam kalangan wanita pada hari ini sudah seiring dengan
pencapaian golongan lelaki, termasuk berjawatan tinggi dalam pasukan keselamatan
negara; jawatan yang suatu ketika dahulu hanya dimonopoli oleh lelaki.

“Tidak kurang juga ramai yang menjadi doktor, peguam, jurutera, termasuklah
menceburi kerjaya sebagai juruterbang dan angkasawan. Ini jelas membuktikan bahawa
wanita juga adalah pemangkin kepada kecemerlangan negara, selaras dengan aspirasi
Masyarakat Madani.

“Dalam konteks negeri Sabah, kita sentiasa menyokong dan mengiktiraf golongan
wanita untuk menyertai kumpulan pembuat dasar atau pembuat keputusan. Setakat ini,
kita mempunyai beberapa wanita yang menyandang jawatan tertinggi termasuk dalam
Kabinet negeri selain mengetuai atau menerajui sektor awam serta swasta.

“Saya percaya lebih ramai lagi golongan wanita akan menjadi peneraju atau ketua
dalam sektor awam mahu pun swasta pada masa hadapan,” katanya.-pr/BNN