PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bertindak menggantung tugas Pengurus Besarnya,  Muhammad Faris Arriffin atas dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salahguna kewangan pertubuhan itu.
Tindakan itu dibuat oleh barisan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS yang diketuai Dato Haji Zamri bin Yaakob selaku Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait dengan kewangan NAFAS yang merupakan dana milik ahli dalam pergerakan itu.
Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah NAFAS bil 5/2024 pada hari ini (22 Oktober 2024) memutuskan untuk menggantung tugas Pengurus Besar dan membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS petang tadi memaklumkan, Jemaah Pengarah NAFAS telah mendapati berlaku pelanggaran tatakelola yang ketara apabila terdapat penyaluran kewangan NAFAS kepada badanbadan kerajaan atau NGO’s yang langsung tidak berkaitan dengan pergerakan PP dan ianya juga adalah diluar pengetahuan Jemaah Pengarah NAFAS keseluruhannya.
Kenyataan itu menyebut, hasil siasatan dan penemuan lanjut akan diambil tindakan wajar melibatkan peraturan dan perundangan semasa, juga melibatkan pihak berkuasa yang bertanggungjawab.
Katanya, NAFAS yang berfungsi sebagai sebuah pertubuhan, adalah bergerak bersandarkan saham dan modal ahli yang melibatkan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan ahli individu. Atas teras pergerakan tersebut yang dipanggil Pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) maka setiap urusan perbelanjaan dan kewangan mesti mengutamakan perjalanan Pertubuhan.
Menurut kenyataan itu, NAFAS sebagai sebuah pertubuhan yang  mengambil berat setiap saranan kerajaan berkaitan pemantapan tatakelola dan agenda reformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan bagi membentuk Malaysia Madani.
“Oleh itu NAFAS akan bertindak tegas atas setiap kepincangan tatakelola yang boleh mengganggu gugat agenda kerajaan untuk mencapai matlamatnya”, katanya.