KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini menyampaikan insentif berjumlah RM2.19 juta kepada atlet Sabah yang berjaya dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI dan Para SUKMA XXI di Sarawak baru-baru ini.
Turut mendapat ganjaran, pelari negara Eddy Bernard yang mendapat pingat gangsa dalam acara 100m di sukan Paralimpik Paris 2024, sebanyak RM50,000.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada atlet yang telah mewakili negeri Sabah di kedua-dua temasya sukan berprestij ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di majlis penyampaian insentif
kemenangan di sini, pada Selasa.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Alfred Angin.
Ketua Menteri berkata turut tidak dilupakan kesemua jurulatih dan pengurus-pengurus
pasukan yang telah mengorbankan masa dan tenaga demi menjaga kebajikan atlet
masing-masing selama hampir dua tahun sebelum menghadapi SUKMA dan Para
SUKMA lalu.
“Atas keprihatinan ini, insentif sebanyak RM245,000 diberikan kepada jurulatih-jurulatih
dan pengurus-pengurus pasukan SUKMA dan sebanyak RM250,500 diberikan kepada
jurulatih-jurulatih dan pengurus-pengurus pasukan Para SUKMA.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada atlet renang yang berasal dari daerah
Sandakan iaitu Shahafiq Abdullah kerana telah dipilih sebagai pemenang anugerah
Atlet Lelaki Terbaik Para SUKMA Edisi Ke-21, 2024 selepas membawa pulang empat
pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
“Lebih membanggakan lagi, keempat-empat pingat emas yang dimenangi beliau itu
merupakan catatan rekod baharu kebangssan. Dengan kejayaan itu, Shahafiq akan
menerima insentif tambahan untuk anugerah ini iaitu sebanyak RM10,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri berharap semua perancangan yang telah, sedang dan
akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan berjalan dengan
lancar khususnya dalam pembangunan sukan dan belia di negeri ini.
“Pada bulan September lalu, saya telah mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Sabah di Wisma MUIS. Saya telah menerima taklimat berkaitan usaha kementerian ini untuk terus memajukan aspek sukan dan belia di negeri ini,” katanya.
Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memperuntukkan perbelanjaan
besar dan konsisten bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dan belia dapat
dijalankan.
“Kita juga akan terus menyediakan prasarana dan teknologi yang moden dari semasa
ke semasa bagi memenuhi keperluan atlet dan belia untuk berlatih atau bekerja dengan
lebih efisien,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak berkaitan dalam pembangunan sukan
termasuk jurulatih, pengurus dan atlet agar sentiasa manfaatkan segala kemudahan
yang disediakan untuk meningkatkan pencapaian dalam bidang sukan masing-masing.
“Ini termasuk untuk memastikan kejayaan lebih gemilang, bukan sahaja di peringkat
kebangsaan malah di arena antarabangsa. Setiap kejayaan yang diperoleh bukanlah
penamat perjuangan kita. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan bagi kita mencapai lebih
banyak kejayaan di masa hadapan.
“Ingin saya tegaskan juga, sukan bukan sekadar mengenai pingat dan kemenangan
semata-mata, sebaliknya ia melahirkan sifat ketekunan, kerjasama dan integriti.
“Nilai inilah yang sepatutnya tersemat dalam diri atlet. Saya berharap semua pihak akan
terus memartabatkan sukan di negeri ini, sekali gus mengharumkan nama negeri dan
negara di persada antarabangsa,” katanya.-pr/BNN