TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa beliau tidak pernah mempromosi diri sepanjang lima tahun menjadi Ketua Menteri. Beliau menekankan bahawa fokus utama adalah untuk mempromosikan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai dasar dan panduan kerajaan pimpinannya dalam membangunkan Sabah.
“Apa yang ada dalam fikiran saya ialah untuk membangunkan Sabah, berusaha meningkatkan pendapatan negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion, dan tahun ini hasil kita mungkin boleh mencapai hampir RM8 bilion. Jika kita pandai mengurus negeri, kita boleh mencapainya. Kita mempunyai dasar mesra pelabur yang menarik orang datang dari dalam dan luar negara untuk membuka perniagaan dan kilang. Sekiranya mereka melihat kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan yang baik dan politik yang tidak stabil, bagaimana mungkin mereka akan datang?” katanya.
Beliau menambah bahawa kehadiran pelabur akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat, dengan angka yang sudah mencapai ribuan. “Bayangkan jika kita tidak tahu mentadbir, ada pemimpin lain yang mengaku pakar ekonomi tetapi tidak mampu melakukan apa-apa. Mereka asyik bercakap tentang politik dan tidak memberikan penyelesaian yang kukuh,” ujarnya.
Hajiji menyatakan perkara itu semasa Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Pantai Dalit di perkarangan Masjid Nur Falah, Kampung Mengkabong, pada Isnin. Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, ADUN Tempasuk, Datuk Arsad Bistari, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg, dan pemimpin masyarakat setempat.
Beliau menjelaskan bahawa berbeza dengan kerajaan terdahulu, kerajaan pimpinannya tidak pernah mengambil tindakan yang merugikan negeri setelah mengambil alih pentadbiran. “Kita tidak akan rugi jika berbuat demikian. Namun, mereka yang dulu memotong syarikat konsesi air, ada enam atau tujuh. Kita rugi RM315 juta ‘for nothing’ akibat perintah mahkamah, dan ini adalah kerugian hasil kerja mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji meminta rakyat negeri ini supaya bijak menilai baik buruk dan belajar daripada sejarah lalu demi mengekalkan kestabilan politik. Beliau yakin bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus yang ada sekarang akan mampu membentuk kerajaan semula selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti. “Berilah sokongan, dan saya yakin di Pantai Dalit kita akan menang dengan majoriti yang hebat, bukan sahaja di Sulaman tetapi juga di empat kawasan DUN di Tuaran, termasuk Tamparuli dan Kiulu, yang tetap akan menjadi milik GRS.”
Hajiji juga menasihatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan cerita kotor dan fitnah dari pemimpin pembangkang, yang tiada kerja lain selain itu setiap hari. Sementara itu, beliau, yang juga ADUN Sulaman, menjawab isu kesesakan jalan raya yang menjadi rungutan pengguna, khususnya di laluan dari Bulatan Berungis hingga T-Junction, yang akan diselesaikan melalui projek naik taraf. Katanya, peruntukan untuk projek tersebut sudah ada, dan kontraktor telah dipilih untuk melaksanakannya tidak lama lagi, dengan kos lebih RM100 juta.
“Perkara ini selalu disebut oleh Jasnih selaku ADUN Pantai Dalit kepada saya dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, masalah ini sememangnya menjadi keutamaan saya. Saya memberi sokongan bukan sahaja kepada Pantai Dalit tetapi juga kepada Tamparuli dan Kiulu. Ini adalah usaha kita sebagai kerajaan untuk memastikan pentadbiran diurus dengan baik,” katanya.-pr/BNN