KOTA KINABALU: Seorang tokoh relawan negeri tampil membuat laporan polis terhadap satu perhimpunan awam yang didakwa mempunyai unsur pengaruh politik luar dan berpotensi menjejaskan ketenteraman awam.

Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said, membuat laporan itu di Balai Polis Tanjung Aru, kira-kira jam 3.19 petang, berhubung penganjuran “Perarakan Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0” yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Jun ini.

Perhimpunan yang dijangka bermula dari hadapan pusat beli-belah Suria Sabah ke Lintasan Deasoka itu dilaporkan dianjurkan oleh kumpulan dikenali sebagai Suara Mahasiswa UMS, yang diketuai seorang individu bernama Fadhil Kasim bersama beberapa rakan sekumpulan.

Menurut Jerry, meskipun perhimpunan tersebut menggunakan label “aman”, terdapat petunjuk yang membangkitkan kebimbangan terhadap niat terselindung di sebalik penganjurannya.

“Saya percaya ada unsur hasutan dan pengaruh luar, malah kemungkinan campur tangan parti pembangkang yang cuba memperalatkan mahasiswa untuk agenda politik sempit mereka,” katanya dalam laporan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan mempergunakan golongan mahasiswa, khususnya dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), bagi tujuan politik adalah suatu tindakan tidak bermoral dan membahayakan reputasi institusi pengajian tinggi.

“Mahasiswa seharusnya menjunjung nilai intelektualisme dan idealisme akademik, bukan dijadikan perisai untuk demonstrasi jalanan yang didalangi kepentingan tertentu,” tambahnya.

Jerry turut menyuarakan kebimbangan bahawa perhimpunan tersebut boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan awam.

Antara kebimbangan utama yang dinyatakan ialah potensi gangguan terhadap urusan perniagaan di pusat bandar, provokasi oleh pihak luar yang ekstrem, serta risiko tercetusnya ketegangan kaum dan agama jika isu yang dibawa menyentuh sensitiviti rakyat Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat penganjur dan sumber pembiayaan perhimpunan tersebut, termasuk mengenal pasti sama ada wujudnya pengaruh politik luar yang cuba mengambil kesempatan.

“Kita di Sabah terkenal dengan budaya rasional dan menghormati undang-undang. Perhimpunan jalanan bukanlah budaya anak-anak Sabah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan dakyah atau sentimen yang ditimbulkan pihak berkepentingan yang mempergunakan belia sebagai alat politik.

“Sabah memerlukan kestabilan dan kesatuan, bukan kebisingan jalanan yang merosakkan keharmonian yang telah sekian lama kita pupuk bersama,” tegasnya.-pr/BNN