KOTA KINABALU: Cadangan menyekat pengeluaran lesen kepada peniaga warga Pakistan di Kota Belud tidak boleh dibuat secara semberono tanpa asas undang-undang yang kukuh, sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka ekonomi dan tadbir urus yang realistik.
Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar diperhalusi secara rasional dan tidak berasaskan sentimen semata-mata.
Beliau mengakui niat cadangan itu mungkin bertujuan melindungi kepentingan peniaga tempatan, namun menegaskan kerajaan tidak boleh bertindak di luar peraturan sedia ada.
“Kerajaan tidak boleh sesuka hati menyekat lesen tanpa asas undang-undang yang kukuh. Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bergantung kepada hasil cukai untuk pembangunan daerah.
“Tidak wajar kita memotong sumber pendapatan sendiri hanya kerana desakan sentimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Aksyah menjelaskan komuniti Pakistan di Sabah terdiri daripada beberapa kategori termasuk warganegara sejak sebelum merdeka, pemastautin tetap yang berkahwin dengan penduduk tempatan, serta pemegang visa sah.
Katanya, selagi mereka mematuhi undang-undang, memiliki dokumen lengkap dan membayar lesen perniagaan, tiada justifikasi untuk menafikan hak mereka menjalankan perniagaan.
“Kerajaan juga tidak boleh dilihat bertindak zalim semata-mata untuk meraih populariti politik,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan isu sebenar bukan terletak pada pengeluaran lesen, sebaliknya sikap dan daya saing dalam kalangan peniaga tempatan sendiri.
Menurutnya, peniaga Pakistan yang sering dipertikai dilihat mampu bertahan dan berkembang kerana memiliki disiplin kerja tinggi, rajin serta berdaya tahan.
“Mereka pandai berunding, sabar dan tidak memilih kerja. Ada kedai beroperasi hingga 24 jam.
“Berbeza dengan segelintir peniaga tempatan, baru memperoleh sedikit keuntungan sudah bersikap selesa,” katanya.
Aksyah turut mempersoalkan mengapa golongan berkenaan mampu bertahan walaupun tidak menikmati pelbagai bantuan kerajaan seperti yang disalurkan kepada peniaga tempatan.
“Ironinya, walaupun tanpa keistimewaan, mereka terus kukuh. Ini menunjukkan bantuan semata-mata tidak menjamin kejayaan jika sikap tidak berubah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan langkah menyekat kehadiran peniaga asing bukan jaminan untuk meningkatkan kejayaan usahawan tempatan.
“Pokok pangkalnya adalah sikap. Sidang DUN seharusnya menjadi medan melahirkan rakyat yang lebih berdaya saing, bukan terus bergantung kepada ‘tongkat’.
“Sampai bila kerajaan perlu membantu jika mentaliti tidak berubah? Rakyat juga perlu memperkukuh keupayaan sendiri,” katanya.
Beliau menambah kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak, sebaliknya kegagalan untuk bersaing mungkin berpunca daripada kelemahan sikap dan mentaliti sendiri.
“Jangan sampai kita terus menjadi ‘melukut di tepi gantang’ di negeri sendiri,” katanya.-pr/BNN





