KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah menempelak tindakan pembangkang yang dilihat semakin terdesak dengan menyebarkan naratif negatif terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menjelang kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, dakwaan yang menyifatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai “kerajaan gagal” hanyalah retorik politik yang dimainkan di platform media sosial bagi memburukkan pentadbiran sedia ada.

“Setiap kejayaan kerajaan dinafikan. Malah, apa sahaja tindakan membangun rakyat yang dilaksanakan oleh Hajiji semuanya kelihatan serba tidak betul di mata pembangkang.

“Blok pembangkang ini macam-macam ada, malah mengada-ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Aksyah turut mempersoalkan tindakan pihak pembangkang yang memperalatkan golongan mahasiswa dalam percaturan politik mereka, sedangkan mahasiswa sepatutnya memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Tidak hairanlah kedudukan universiti seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) hampir tercorot. Ini kesan apabila mahasiswa diseret masuk dalam gelanggang politik kepartian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Katanya, kebanyakan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang sebenarnya telah pun ditangani kerajaan, malah ada yang telah disiapkan mengikut jadual.

Menurutnya, rakyat kini perlu lebih berwaspada dengan permainan politik pembangkang yang bukan sahaja membangkitkan isu-isu lapuk, malah cuba memanipulasi sentimen demi meraih sokongan.

“Rakyat perlu sedar. Masa mereka telah berlalu. Sabah perlukan pendekatan baharu menerusi parti tempatan yang benar-benar memahami aspirasi rakyat negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Aksyah mengingatkan bahawa ramai dalam kalangan pemimpin pembangkang hari ini pernah berada dalam kerajaan dan diberi peluang memimpin, termasuk memegang kuasa selama berdekad-dekad.

Namun, katanya, perbezaan ketara dapat dilihat apabila kerajaan pimpinan Hajiji tampil dengan wawasan dan halatuju yang lebih tersusun serta berfokus kepada kebajikan rakyat.

“Halatuju Sabah Maju Jaya adalah satu kerangka pembangunan yang jelas dan menyeluruh, namun turut dijadikan bahan ejekan oleh pembangkang. Inilah bezanya GRS — ia bukan sekadar cakap kosong, tetapi kerajaan yang ada mekanisme dan pelaksanaan yang nyata,” ujarnya.

Aksyah turut memuji pendekatan kerajaan GRS yang lebih terancang dan menyeluruh dalam membangunkan Sabah, termasuk membawa projek-projek rakyat yang bersifat inklusif dan menyentuh keperluan akar umbi.

“Setiap pencapaian yang dicapai GRS membuatkan pembangkang semakin tidak senang duduk. Ibarat mata lalat, makin merah saga melihat kemajuan yang dibawa,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat dan negeri Sabah akan mengalami kerugian besar jika termakan dengan dakyah dan hasutan pembangkang yang dilihat lebih gemar bermain sentimen daripada menawarkan penyelesaian sebenar.

“Sudah cukup baik apa yang dikecapi sekarang. Gabungan parti-parti tempatan di bawah GRS adalah yang terbaik dalam sejarah politik negeri Sabah. Inilah tonggak utama pentadbiran yang menjamin kedaulatan negeri ini,” katanya.

Dalam kenyataan yang sarat sindiran itu, Aksyah turut menggambarkan keikhlasan dan kepimpinan Ketua Menteri sebagai sosok yang berjiwa besar dan berhati mulia, yang terus teguh berkhidmat demi rakyat walau diasak dari pelbagai sudut.

“Anak kecil pun tahu, tubuh yang dipeluk dan ditepuk dadanya adalah insan yang ikhlas. Rakyat Sabah jangan mudah terpedaya lagi,” katanya.-pr/BNN