KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah, golongan mahasiswa dan belia di negeri ini disifatkan semakin dijadikan alat oleh pihak pembangkang demi meraih keuntungan politik jangka pendek.
Menurut aktivis masyarakat dan pemerhati politik tempatan, Aksyah Haji Nasrah, perkembangan ini amat membimbangkan kerana jenama institusi seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut dilibatkan dalam gerakan yang bermotifkan politik.
“UMS ditubuhkan untuk mendidik dan membina masa depan anak muda Sabah, bukannya dijadikan alat politik yang disalahguna atas nama integriti dan anti-rasuah. Apakah ini matlamat asal penubuhan UMS?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan keikhlasan peserta demonstrasi yang disifatkan tidak mencerminkan wajah sebenar warga UMS, apatah lagi nilai dan norma orang Sabah.
“Kalau kita teliti mimik wajah mereka dalam demonstrasi itu, ramai bukan pun mahasiswa UMS tulen, malah jauh dari mencerminkan nilai anak jati Sabah,” katanya .
Aksyah turut mendedahkan bahawa terdapat tangkap layar aplikasi WhatsApp yang menunjukkan demonstrasi berkenaan menawarkan bayaran sebanyak RM50 kepada setiap peserta, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai keaslian niat penganjur.
“Kita perlu persoalkan, jika benar dibayar untuk hadir, maka perjuangan mereka bukanlah demi integriti atau membasmi rasuah, sebaliknya hanya untuk laba kecil dan kepentingan sementara. Namun kerosakan yang dilakukan berpanjangan,” tegas beliau.
Beliau menyifatkan tindakan sebegini sebagai sebahagian daripada gerakan anarki yang merosakkan keharmonian sosial dan kestabilan politik Sabah, dan menjurus kepada kemusnahan Sabah akan datang.
Aksyah turut mengecam tindakan segelintir mahasiswa yang membuat laporan polis dengan kenyataan yang dianggap menghina institusi Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah.
“Yang lebih mendukacitakan, mereka ini pula bukan orang asal Sabah. Mereka datang dari luar negeri, tetapi sanggup memperlekeh institusi TYT yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Hal negeri asal mereka kita tidak pernah campur tangan, tapi hari ini mereka berani membakar institusi negeri orang lain,” katanya kesal.
Tambahnya, tindakan tersebut bukan sekadar tidak sopan, malah boleh dianggap cubaan membakar kebencian rakyat Sabah terhadap institusi negeri sendiri, apatah lagi menjelang musim pilihan raya.
“Persoalannya, siapa di belakang mereka? Apa motif sebenar di sebalik slogan perjuangan integriti dan reformasi? Semua ini tersusun dan beragenda, hanya untuk menggugat kestabilan dan membakar sentimen,” katanya.
Aksyah turut menzahirkan penghargaan kepada usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta kepimpinan kerajaan GRS-PH Plus yang menurutnya konsisten dalam membawa pembangunan dan kestabilan menerusi pelaksanaan Wawasan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kalau kita lihat secara objektif, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji sudah meletakkan hala tuju jelas. Tidak ada keperluan langsung untuk mahasiswa atau pihak luar turun berdemo. Yang mereka lakukan ini hanya untuk mengganggu fokus pembangunan negeri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan kekuatan perpaduan adalah syarat utama untuk kemajuan, justeru perbuatan-perbuatan sebegini perlu dihentikan demi masa depan Sabah.
“Kalau kita ingin dihormati dan berjaya, kita perlu letakkan kestabilan politik dan kekuatan perpaduan sebagai asas. Tapi jika keadaan ini berlarutan, harapan untuk memartabatkan maruah dan masa depan bangsa kita akan terus terhalang,” tegas beliau.-pr/BNN