KOTA KINABALU : Menurut Mohd Nur Hilmie bin Milus,Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyatakan sokongan terhadap mana-mana usaha dan gerakan rakyat yang memperjuangkan integriti, ketelusan dan pembanterasan rasuah termasuk inisiatif demonstrasi Gempur Rasuah 2.0 yang dianjurkan baru-baru ini. Semangat membanteras penyelewengan dan menuntut keadilan adalah sebahagian daripada denyut nadi perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan KEADILAN.
Namun demikian, AMK Sabah ingin menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tegas terhadap tindakan membakar lukisan karikatur yang menyerupai wajah YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dalam aksi tersebut. Tindakan sebegini bukan sahaja tidak menghormati prinsip perbezaan secara matang dan beradab, bahkan ia bertentangan dengan semangat serta sejarah panjang perjuangan PMX sendiri dalam menentang rasuah dan salah guna kuasa sejak era 1998.
Perlu diingat bahawa PMX merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten, tegas dan berani dalam membanteras budaya rasuah, bukan hanya dalam ucapan, tetapi melalui pelbagai reformasi institusi dan dasar ketelusan fiskal yang kini sedang dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI. Kami percaya bahawa sebarang bentuk desakan rakyat haruslah dilakukan secara berhemah, berfakta dan membina, bukan dengan memperlekeh simbol pemimpin yang sedang menggerakkan perubahan yang nyata dalam pentadbiran negara.
AMK Sabah kekal komited menjadi suara progresif anak muda yang memperjuangkan antirasuah, reformasi institusi dan pembinaan Malaysia yang adil dan bersih, tetapi dengan pendekatan yang berprinsip, bijaksana dan tidak mempermainkan simbol yang disanjungi rakyat hanya demi retorik jalanan. Kita lawan rasuah, bukannya mencipta musuh baru.-pr/BNN