KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah melancarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC), pusat pertama seumpamanya di Malaysia yang dibiayai oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Dibangunkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri danAgensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), SDCC ini akan memastikan tindakanyang lebih pantas dan tersusun ketika berlakunya bencana,” kata Hajiji semasa majlisperasmian SDCC di Menara Kinabalu, dekat sini hari ini.

Terletak di Tingkat 4, Blok A Menara Kinabalu, SDCC akan berfungsi sebagai platform bersepadu bagi menyelaras tindakan agensi keselamatan dan penyelamat, NGO sertabadan penyelidikan semasa berlakunya bencana.
SDCC dilengkapi dengan teknologi maklumat dan komunikasi terkini termasuk sistem persidangan video dan pangkalan data komprehensif untuk pengumpulan dan penganalisisan maklumat berkaitan bencana.
Pusat bernilai RM750,000 itu mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif; Timbalan Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Abdul Gapar Abu Bakar; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun; Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Datuk Ag Shahminan Ag Sahari selaku sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri;dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Mohd Yusoff Samad. – pr/BNN