KOTA KINABALU: Datuk Haji Mazlan Joehari Manan menyifatkan kenyataan peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei sebagai cubaan terancang untuk mengaburi mata rakyat dan menyelewengkan maksud sebenar tindakan undang-undang yang diambil terhadap anak guamnya.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan itu berkata, kenyataan peguam ini bersifat provokatif, tidak bertanggungjawab dan memperlihatkan sikap angkuh dalam memanipulasi tafsiran undang-undang demi membela seorang individu yang sedang berdepan pertuduhan serius.
Menurutnya, peguam berkenaan cuba menanam persepsi kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menggunakan kuasa politik untuk menakut-nakutkan pihak lawan, sedangkan tindakan membuat laporan polis adalah selaras dengan prinsip undang-undang yang memberi hak kepada sesiapa jua untuk membuat aduan apabila difitnah.
“Ini bukan soal peribadi atau dendam politik. Ini soal mempertahankan kebenaran dan maruah jawatan Ketua Menteri. Apabila seseorang membuat kenyataan yang berbaur fitnah di khalayak ramai, maka wajarlah tindakan undang-undang diambil,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mahajoth Singh yang mendakwa Hajiji, sepatutnya memfailkan saman sivil terhadap Tei dan bukannya membuat laporan polis.
Mazlan yang juga Pegawai Khas Ketua Menteri menegaskan bahawa kenyataan yang menyifatkan laporan polis sebagai penyalahgunaan sumber awam adalah dangkal dan memperlekeh institusi keadilan negara.
“Jika kenyataan seperti ini dibiarkan, ia akan mencetuskan satu budaya tidak sihat di mana individu yang berdepan pertuduhan boleh bersembunyi di sebalik retorik kebebasan bersuara untuk mengelak tanggungjawab undang-undang,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan Tei mengadakan sidang media sebaik sahaja selesai didakwa di mahkamah dan terus mengaitkan nama Ketua Menteri serta agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara menunjukkan niat politik yang terselindung.
“Dia seolah-olah mahu mengheret semua orang ke dalam lumpur yang sama semata-mata kerana dirinya telah didakwa. Itu bukan cara orang yang ingin menegakkan kebenaran, sebaliknya cara mereka yang mahu melindungi diri melalui persepsi,” katanya.
Mazlan turut mempersoalkan sama ada peguam Tei benar-benar bertindak atas dasar undang-undang atau sekadar menjadi alat untuk membentuk naratif politik songsang.
“Jika benar yakin anak guam tidak bersalah, buktikan di mahkamah. Jangan kaburi proses undang-undang dengan kenyataan bercorak politik,” tegasnya.
Beliau menyeru rakyat Sabah agar tidak terperangkap dengan permainan persepsi sedemikian dan terus memberi kepercayaan kepada institusi perundangan untuk menjalankan tugas mereka secara bebas dan adil.
“Kita mesti bersatu mempertahankan institusi negara daripada dicemari oleh mereka yang sanggup memperalatkan undang-undang demi kepentingan sendiri,” katanya.-pr/BNN