TUARAN: Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menyantuni warga pendidik dalam Majlis Ziarah Kasih “Teko Ngelintar” di Dewan Mengkabong, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran pada Jumaat.

Program itu sempena Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Peringkat Negeri Sabah 2025 (MAPenS 2025) bertujuan menghargai sumbangan warga pendidik yang memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan negeri ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag dan jemputan lain bergambar bersama para penerima sumbangan dan warga pendidikan pada Majlis Ziarah Kasih Teko Ngelintar sempena Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Peringkat Negeri Sabah 2025 di Dewan Mengkabong, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran pada Jumaat.

Juliah yang juga Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Sabah turut menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan wang tunai kepada 21 orang warga pendidik yang sakit, termasuk seorang daripadanya menerima sumbangan kerusi roda, sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti mereka.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Wanita Pendidikan Negeri Sabah, Datin Hajah Nor’aini Bahari, Penolong Bendahari Kehormat Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Tengku Adlina Marita Datuk Tengku Zainal Adlin, Pengerusi Biro Rumah MUTIARA GRS, Datin Hajah Noriah Haji Pg.Ahmad dan Datin Hariani Usman.

Majlis itu turut disusuli dengan jamuan ringan dan sesi ramah mesra yang berlangsung dalam suasana penuh mesra serta harmoni.-pr/BNN