KOTA KINABALU: Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Daya, menegaskan dakwaan peruntukan RM945,000 bagi penganjuran malam ulang tahun Yayasan Sabah (YS) yang tular di media sosial belum mendapat kelulusan pihak pengurusan.
Beliau berkata, setakat pengetahuannya, belum ada proposal atau permohonan bajet bagi tujuan berkenaan dikemukakan kepada pihak pengurusan yang mempunyai kuasa meluluskan bajet.
“Pihak Jawatankuasa Penganjur boleh mencadang dan memohon, tetapi tidak semestinya diluluskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Jasnih berkata, bagi permohonan peruntukan pada jumlah yang tinggi, kebiasaannya ia akan diteliti semula dan jumlahnya boleh dikurangkan mengikut keperluan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan perbelanjaan dibuat secara berhemah serta mengelakkan pembaziran.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Yayasan Sabah mempunyai mekanisme bagi mengawal perbelanjaan berlebihan.
“Keutamaan kami ialah rakyat Sabah. Insya-Allah,” katanya.
Jasnih turut berterima kasih kepada MAWAR Channel yang disifatkannya sebagai memberikan peringatan berhubung isu berkenaan.
Hantaran beliau dibuat susulan dakwaan pelbagai pihak di media sosial yang mempersoalkan kononnya sejumlah RM945,000 dibelanjakan bagi sambutan malam ulang tahun Yayasan Sabah.-pr/BNN





