TAWAU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun mahu seluruh jentera wanita di peringkat akar umbi menggandakan gerak kerja bagi memastikan kemenangan besar GRS pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, jentera parti perlu turun padang dan mendekati rakyat secara berterusan tanpa mengira calon yang bakal diketengahkan pucuk pimpinan.
“Sasaran kita sekurang-kurangnya 15 kerusi. Di Tawau, kita ada dua kerusi iaitu Parlimen Tawau dan Kalabakan. Kita mahu memastikan suara Sabah kuat di peringkat nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Wanita GRS Zon 6A bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), di sini, semalam.
Azizah berkata, usaha mendekati rakyat tidak seharusnya hanya dilakukan ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang masa.
“Kerja bersama rakyat ini bukan semasa kempen saja, tetapi sepanjang masa. Hari ini saya nasihatkan mereka untuk terus bekerja di kedua-dua kawasan Parlimen itu,” katanya.
Mengenai calon wanita, beliau berkata keputusan akhir adalah hak pucuk pimpinan parti dan GRS tidak menetapkan kuota tertentu, sebaliknya memberi keutamaan kepada calon yang berpotensi menang serta mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Seboleh-bolehnya kita ada calon daripada wanita. Kalau di mana-mana kawasan ada wanita yang berpotensi untuk menang, kita akan sokong mereka untuk bertanding, tetapi keputusan diserahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau menegaskan calon wanita perlu dinilai berdasarkan kriteria sama seperti calon lelaki, termasuk kemampuan menang, kepimpinan dan sumbangan kepada parti.
“Wanita kita semua ini boleh. Apa bezanya? Kalau ada wanita yang berpotensi, berkemampuan untuk menang dan memenuhi kriteria sebagai pemimpin serta wakil rakyat, kenapa tidak diberi peluang?” katanya.
Menurutnya, Wanita GRS mempunyai barisan berpengalaman daripada pelbagai latar belakang, termasuk pendidikan, perniagaan dan industri, yang berkeupayaan membawa suara rakyat ke Parlimen.
Azizah berkata, kemenangan GRS penting bagi memperkukuh suara Sabah di peringkat nasional, selain membolehkan agenda pembangunan negeri dan kepentingan rakyat terus diperjuangkan.
“Ada banyak lagi yang perlu kita perjuangkan untuk Sabah, termasuk menangani kemiskinan, meningkatkan pembangunan dan peruntukan, memperluas kemudahan serta memperkukuh sektor pendidikan,” katanya.-pr/BNN





